Friday

Siti Nurhaliza batal konsert di Pulau Pinang





KUALA LUMPUR: “Saya tidak mengandung, sebaliknya hanya menjalani rawatan biasa dan dinasihatkan doktor supaya tidak berjalan jauh atau membabitkan diri dengan aktiviti fizikal termasuk mengadakan konsert dalam waktu terdekat,” kata Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.

Penjelasan yang dibuat melalui pengurusnya itu bagi menjawab dakwaan kononnya beliau mengandung hingga terpaksa membatalkan konsert sempena sambutan Hari Malaysia pada 25 September ini di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang. Siti yang sepatutnya dijadual mengadakan persembahan selama sejam itu terpaksa membatalkan hasratnya itu selepas mendapat nasihat dan surat daripada pakar Perbidanan dan Sakit Puan Pusat Perubatan Prince Court.

“Saya hanya menjalani rawatan normal bagi memantau tahap kesihatan diri memandangkan jadual kerja harian yang terlalu padat hingga ada kalanya mengabaikan kesihatan. Laporan itu hanya menjelaskan yang saya tidak dibenarkan untuk berjalan jauh atau membabitkan diri dengan sebarang aktiviti fizikal sepanjang proses rawatan berlangsung termasuk mengadakan konsert pada waktu ini.


“Saya kesal dengan dakwaan beberapa pihak yang begitu cepat membuat andaian dan spekulasi. Doktor hanya menasihatkan saya berehat dalam tempoh dua hingga tiga minggu ini sebelum saya kembali aktif pada pertengahan Oktober depan. Itu adalah prosedur biasa yang dijalani kebanyakan wanita.


“Justeru ingin saya nyatakan spekulasi yang tersebar adalah tidak benar. Saya masih belum mengandung setakat ini,” katanya yang dihubungi semalam. Penarikan diri daripada pihak Siti pada saat-saat akhir itu menyebabkan kerajaan negeri Pulau Pinang selaku penganjur terpaksa membatalkan keseluruhan acara konsert. Perkara itu disahkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, semalam yang berkata kerajaan negeri terpaksa membatalkan seluruh konsert berkenaan kerana kesuntukan masa untuk melakukan perubahan atau pindaan pada saat akhir.


Katanya, beliau menerima surat daripada syarikat pengurusan Siti bersama surat akuan pakar perbidanan terbabit, kelmarin.


“Kami kesal dengan apa yang berlaku tetapi menghormati masalah yang dihadapinya dan mendoakan yang terbaik untuk kesihatan Siti,” katanya.


Guan Eng bagaimanapun enggan mendedahkan lebih lanjut mengenai surat akuan berkenaan sebaliknya meminta sebarang pertanyaan diajukan kepada penyanyi itu sendiri.


Beliau turut memaklumkan Siti Nurhaliza Productions sudah memulangkan bayaran pendahuluan RM60,000 kepada kerajaan negeri untuk konsert berkenaan malah turut bertanggungjawab di atas kerugian yang dialami penganjur.


Siti juga melahirkan rasa terkilan dan sedih kerana terpaksa melupakan hasrat bertemu peminat di Pulau Pinang dan menghiburkan mereka dalam acara konsert yang besar seperti itu. “Saya memohon maaf kepada penganjur serta peminat kerana gagal memenuhi undangan persembahan ini di saat-saat akhir. Jujurnya saya terkilan kerana tidak berpeluang untuk bertemu dan menghiburkan peminat di sana.


“Bagaimanapun saya sendiri tidak dapat menyangkal nasihat doktor. Saya berharap segala-galanya akan berjalan lancar seperti biasa selepas ini,” katanya.

1 comments so far

pada hematnya tak payahlah datuk siti memberi seribu alasan hanya allah swt.sahaja yang maha mengetahui,melihat serta mendengar apa yang tersurat dan tersirat.pada allah kami datang pada dia jugalah kami akan kembali.kami tak terkilan pun.


EmoticonEmoticon