Jemaah haji 2010 tiba di tanah suci


Rombongan pertama Jemaah Haji 2010 dari Malaysia seramai lebih 1,100 orang dilaporkan telah selamat tiba di tanah suci Mekah awal pagi ini selepas menempuh perjalanan sejauh 400 kilometer yang mengambil masa selama tujuh jam.

Mereka telah berlepas dari Bir Ali (tempat berniat) di pinggir bandar Madinah kira-kira pukul 6.30 petang waktu tempatan (11.30 malam waktu Malaysia) dan tiba di hotel Janadriyah, kira-kira 800 meter dari Masjidil Haram.

Jemaah haji diberi minum air zam-zam dan kemudian ditempatkan di tingkat enam hotel Janadriyah yang menempatkan ibu pejabat dan pusat operasi Lembaga Tabung Haji (TH) di Mekah.

Ketibaan mereka pukul 1.30 pagi waktu tempatan (6.30 pagi waktu Malaysia) disambut Ketua Rombongan Haji Malaysia Musim 1431 Hijrah, Mohd. Salleh Abdul Mubin, Konsul Haji Malaysia di Jeddah, Mohd Khalid Mohd Nordin, Timbalan Ketua Rombongan Haji (Kebajikan) Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan petugas Tabung Haji di Mekah dan wakil mutawif Muassasah.

Mohd. Salleh berkata, TH menyediakan guru agama dan program untuk membimbing bagi memantapkan lagi persediaan jemaah haji di Mekah menjelang hari wukuf 14 November ini.

Ini kali pertama TH membawa masuk serentak jemaah tiga penerbangan iaitu KT1, KT2 dan KT3 kerana sebelum ini tidak lebih dua KT dibawa masuk, katanya kepada pasukan media TH yang membuat liputan musim haji ini.


ReJaM© "Semoga dikurniakan haji yang mabrur! Amin..."

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan