PRK Batu Sapi, Calon bebas dah ambil borang

Nampaknya Calon Bebas telah memulakan langkah pertama mewujudkan bahang PRK Batu Sapi. Dijangka pertandingan sengit di antara calon BN dan Pakatan Rakyat.

KOTA KINABALU 18 Okt. - Borang pencalonan untuk pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi mula dijual hari ini, kata Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabah, Datuk Mohd. Idrus Ismail.

Beliau berkata, setakat ini seorang individu telah membeli dua keping borang tersebut yang berharga RM20 sekeping.

"Dia datang sebagai bebas dan bukan dari mana-mana parti,” katanya kepada pemberita di sini selepas menyerahkan writ pilihan raya kepada Pegawai Pengurus pilihan raya kecil Batu Sapi, Mohamad Hamsan Awang Supain.

Mengulas isu berkaitan, Mohd. Idrus berkata jumlah pengundi berdaftar yang digazetkan bagi kawasan Parlimen tersebut sehingga 9 Oktober lepas ialah 25,582 orang iaitu 24,047 pemilih biasa dan 1,535 pengundi pos.

Beliau berkata, jumlah pengundi itu adalah berkurangan jika dibanding pada pilihan raya umum lepas iaitu 26,004 orang disebabkan faktor seperti kematian selain ada yang menukar kewarganegaraan.

"Kali ini juga ada sedikit pengubahsuaian iaitu (kategori pengundi) adalah berdasarkan Bumiputera Islam (BI), Bumiputera Bukan Islam (BBI), Cina dan lain-lain.

"Untuk Bumiputera Islam, jumlahnya adalah 15,099 orang mewakili 59.02 peratus, BBI seramai 689 orang (2.69 peratus), Cina seramai 9,737 orang (38.06 peratus), dan lain-lain seramai 57 orang (0.22 peratus),” katanya. - Bernama


ReJaM©

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan