Penduduk beragama Kristian diminta tinggalkan negara

Seorang tokoh senior Kristian di Iraq meminta kepada semua penganut agama kristian di negara itu untuk meninggalkan Iraq, berikutan serangan kumpulan bersenjata yang telah menyerang sebuah gereja di Baghdad.

Paderi besar Athanasios Dawood, akan menyampaikan permintaannya ini dalam sebuah ucapannya di Gereja Ortodoks Suriah di London.

Paderi besar itu juga mengkritik betapa buruknya keadaan keselamatan bagi penganut agama Kristian di Iraq.

Sekurang-kurangnya 52 orang telah terbunuh saat pasukan keselamatan Iraq menyerbu sebuah gereja Katolik di Baghdad untuk membebaskan sejumlah tebusan di dalam gereja.

Sebelum ini sekumpulan pejuang bersenjata memasuki gereja Our Lady of Salvation di daerah Karada ketika berlangsung majlis keagamaan pada malam minggu 31 Oktober lalu, dan menawan sejumlah tebusan selama beberapa jam.

Pejuang Al-Qaeda telah menghubungi pihak berkuasa keselamatan Iraq melalui telefon mudah alih, mendesak pembebasan para tawanan al-Qaeda dan juga sejumlah wanita Muslim yang dikatakan dipaksa tinggal di Gereja Koptik di Mesir.

Setelah perundingan gagal, pasukan keselamatan Iraq menyerbu bangunan gereja, sebelum kumpulan bersenjata dilaporkan melempar granad dan meletupkan bom.

Minggu ini, paderi besar Kristian, Dawood akan meminta semua penduduk Kristian untuk meninggalkan Iraq berikutan pejuang Al-Qaeda telah memberi amaran untuk melakukan serangan yang lebih banyak.

Paderi ini juga meminta kerajaan Inggeris untuk meluluskan permohonan perlindungan politik kepada warga Kristian Iraq.

Penduduk Kristian Iraq yang kebanyakannya merupakan etnik Assyria sudah menetap di Iraq sejak abad pertama, namun berikutan kejatuhan Saddam Hussein, mereka dikatakan terpinggir dan pemerintahan Baghdad dianggap tidak berniat atau tidak mampu untuk menjaga keselamatan mereka lagi.

Sejumlah serangan bom yang menyerang banyak gereja menyebabkan penduduk Kristian menyelamatkan diri ke negara-negara jiran.

Para pemimpin gereja di masa lalu meminta kepada penganutnya untuk tetap tinggal di Iraq dan memperkuatkan komuniti mereka.

Namun berikutan ketiadaan jaminan keselamatan, kelihatan tanda-tanda bahawa polisi itu akan berubah. [BBC]



ReJaM©

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan