Dakwaan SUHAKAM berat sebelah tidak munasabah


SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) ingin merujuk kepada beberapa laporan media dan ingin menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa Suruhanjaya bersikap berat sebelah dalam menangani kes liwat ketua parti pembangkang setelah permohonan dibuat oleh En Azlan Mohd Lazim supaya Suruhanjaya meneliti perkara-perkara yang boleh menyebabkan perbicaraan kes yang melibatkan anak beliau ditangguhkan.

Untuk makluman, Suruhanjaya telah menerima surat permohonan tersebut baru-baru ini dan perkara berkenaan juga telah diteliti serta dibincangkan secara terperinci dalam Mesyuarat Suruhanjaya pada 16 Ogos 2011. Walaupun fungsi dan kuasa Suruhanjaya adalah untuk menyiasat apa-apa aduan berhubung dengan dakwaan pelanggaran hak asasi manusia, namun begitu ingin dijelaskan bahawa fungsi dan kuasa Suruhanjaya adalah tertakluk kepada Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597). Bahagian ketiga seksyen 12(2)(a) Akta 597 telah menyatakan secara jelas bahawa Suruhanjaya tidak boleh menyiasat apa-apa aduan yang merupakan hal perkara apa-apa prosiding yang masih belum selesai di mana-mana mahkamah, termasuklah apa-apa rayuan.

Namun demikian, Suruhanjaya telah memaklumkan kepada Yang Amat Arif Ketua Hakim Negara supaya perbicaraan kes ini dapat diteliti dan tindakan sewajarnya dapat diambil. Walau bagaimanapun, Suruhanjaya akan terus memantau perkembangan kes ini.

-TAMAT-


“HAK ASASI UNTUK SEMUA”


(HASHIMAH NIK JAAFAR)
Setiausaha
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 18 Ogos 2011


Sumber: [LidahRakyat]

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan