DNA sperma dubur Saiful tak layak jadi bukti - Pakar


PAKAR forensik Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata spesimen sperma diambil dari bahagian dubur Mohd Saiful Bukhari Azlan tidak boleh digunakan sebagai bahan bukti dalam kes liwat kerana keadaannya telah terjejas dan hanya diperoleh 56 jam selepas hubungan seks didakwa berlaku.

Dr David Wells mendakwa sampel-sampel DNA yang diperoleh tidak mungkin sesuatu yang “bermakna” dan adalah penting ia telah dihantar untuk tujuan analisis dengan segera.

“Selepas satu tempoh yang lama, sampel tidak berada dalam keadaan baik,” kata beliau di mahkamah hari ini.

Sebelum ini, mahkamah diberitahu bahawa spesimen DNA Saiful diperoleh 56 jam selepas perbuatan seks iaitu ketika dia pergi ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan perubatan pada 28 Jun 2008 dan kemudian membuat laporan polis.

Mahkamah juga pernah diberitahu bahawa spesimen DNA disimpan 43 jam lagi dalam kabinet oleh pegawai penyiasat Supt Jude Pereira sebelum ia dihantar kepada ahli kimia kerajaan untuk dianalisis.

Dr Wells menekankan dalam borang perubatan Saiful mengatakan terdapat darah dalam dubur, namun keputusan pemeriksaan mendapati sebaliknya.

Beliau juga berkata borang itu tidak diisi dengan lengkap.

“Ia mesti diisi untuk menunjukkan semua pemeriksaan. Saya keliru dengan bahagian penting yang hilang,” kata Dr Wells.

Anwar didakwa meliwat bekas pembantunya, Saiful di sebuah kondominium di Bukit Damansara antara pukul 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Beliau boleh dijatuhkan hukuman sehingga 20 tahun penjara jika disabit kesalahan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan tetapi hukuman sebat tidak akan dijalankan kerana faktor umur.

“Saya akan skeptikal boleh memperoleh sebarang keputusan bermakna,” kata Dr Wells lagi.

Peguam Anwar, Sankara Nair kemudian memberitahu pemberita bahawa keterangan Dr Well telah menjejaskan kes pendakwaan memandangkan sampel-sampel DNA dari Saiful tidak sesuai digunakan sebagai bukti dalam kes.

Dr Wells juga mengkritik keputusan Pereira untuk membuka beg yang telah pun disita bagi tujuan menyusun semula pelbagai pakej sebelum menyerahkannya kepada ahli kimia kerajaan untuk tujuan analisis.

Katanya, tindakan itu telah menjejaskan rantaian bahan yang ada di bawah jagaan polis.

“Saya secara peribadi terkejut jika sebarang spesimen yang saya ambil tiba di makmal dalam bentuk yang lain.

“Saya bukan seorang anggota polis tetapi saya mengesyaki beliau (Pereira) akan mencari kerja baru,” katanya yang kini merupakan ketua forensik perubatan di Victoria Institute of Forensic Medicine.

“Integriti spesimen adalah sangat penting,” katanya lagi.

Perbicaraan akan disambung esok dengan pemeriksaan balas ke atas Dr Wells oleh pendakwa raya [TMI].



ReJaM© "Satu-satunya bukti pendakwaraya tidak layak menjadi bukti..."

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan