Rafizi Ramli cukup bersedia dan teruja disaman RM100 juta



SAYA dimaklumkan melalui media internet bahawa pada hari ini, Dato’ Seri Shahrizat Jalil telah mengemukakan saman menuntut pampasan RM100 juta terhadap saya dan YB Zuraida Kamaruddin atas penglibatan kami mendedahkan skandal NFC setakat ini.

Saya yakin bahawa semua pendedahan yang dibuat setakat ini adalah benar belaka kerana ia berdasarkan maklumat kewangan dan operasi yang dibocorkan dari dalam NFC sendiri. Sebelum memulakan siri pendedahan skandal, pasukan kami telah pun berbincang dengan peguam-peguam KEADILAN mengenai kemungkinan dikenakan tindakan saman.

Oleh yang demikian, saya dan YB Zuraida Kamaruddin bersedia untuk berdepan dengan peguam-peguam Umno di mahkamah kelak. Peluang ini memang telah ditunggu-tunggu agar kami boleh menggunakan kuasa mahkamah untuk mencari kebenaran sejauh manakah berlakunya penyelewengan di dalam NFC, selain dari yang didedahkan setakat ini.

Pun begitu, Dato’ Seri Shahrizat Jalil juga perlu berdepan dengan mahkamah rakyat yang mual dengan pelbagai keborosan dan salahguna wang yang didedahkan setakat ini.

Sebab itu saya percaya tindakan mengenakan saman ini adalah tindakan politik untuk menutup mulut saya dan YB Zuraida Kamaruddin dari terus membuat pendedahan, di samping cuba memberi gambaran seolah-olah beliau tidak gentar untuk mempertahankan NFC di mahkamah.

Risikonya memang lebih berat di pihak saya dan YB Zuraida Kamaruddin yang berdepan dengan kemungkinan muflis jika kalah, sedangkan Dato’ Seri Shahrizat Jalil hanya perlu membayar kos guaman dan pentadbiran jika saman beliau ditolak. Dengan kekayaan keluarga beliau, sudah tentu beliau mampu membayarnya.

Jika pimpinan Umno seperti Dato’ Seri Shahrizat Jalil beranggapan mereka boleh menutup mulut dan akal rakyat seperti saya dengan mengemukakan saman seperti ini, mereka tersilap besar. Peluang di mahkamah kelak akan digunakan sepenuhnya untuk membongkar lebih banyak penyelewengan dan bakal diikuti oleh lebih ramai rakyat.

Oleh itu, kami cukup bersedia dan teruja untuk berdepan dengan Dato’ Seri Shahrizat Jalil dan peguam-peguam Umno di mahkamah kelak.




MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

19 JANUARI 2012



ReJaM© "Lembu sudah masuk perangkap kah kah kah..."

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan