Friday

Tengku Razaleigh sokong himpunan BERSIH 3.0


KOTA BHARU, 11 April — Pengerusi Angkatan Amanah Merdeka, (Amanah) Tengku Razaleigh Hamzah menyatakan sokongan terhadap perhimpunan menuntut pilihan raya yang adil dan bersih, Bersih 3.0.

Veteran Umno itu menjelaskan, pihaknya menyerahkan kepada ahli Amanah untuk membuat penilaian dan memilih sama ada akan turut serta dalam perhimpunan yang bakal berlangsung di Dataran Merdeka 28 April depan.

“Saya serah kepada ahli-ahli Amanah untuk hadir pada perhimpunan tersebut pada 28 April ini,” kata Tengku Razaleigh, atau lebih dikenali sebagai Ku Li ketika menjawab soalan penonton pada Bicara UT6 – PRU-13 Perjuangan dan Amanah di Kelantan Trade Centre malam tadi.

“Kita mahu peranan media lebih adil dan bebas. Begitu juga dengan penggunaan jentera dan kakitangan kerajaan ketika pilihan raya tidak boleh disalahgunakan. Kita mahu pilihan raya benar-benar adil dan bebas.

“Malah ia selaras dengan tuntutan Angkatan Amanah Merdeka,” tegasnya di petik Harakah Online.

Sementara itu bekas Ketua Pemuda Umno Kelantan, Dr Zayadi Awang Noh yang turut hadir program berkenaan secara terbuka turut menyatakan sokongan terhadap perhimpunan Bersih 3.0 berkenaan.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Amanah Kelantan berkata, mana-mana pihak yang takutkan Bersih adalah kotor, sepertimana mereka yang takut kepada Amanah adalah kerana sikap khianat mereka.

“Siapa yang takut kepada Bersih bermakna dia itu kotor. Begitu juga kalau ada orang takut kepada Amanah dia itu khianat. Jadi tidak ada sebab untuk tidak menyokong Bersih 3.0,” katanya yang pernah dilucut jawatan sebagai Exco Umno Malaysia selepas penyingkiran Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bersih dijangka akan melakukan perhimpunan aman di Dataran Merdeka 28 April ini menuntut pilihan raya bebas dan adil.

Selain itu, perhimpunan berkenaan turut dilaksanakan setelah mereka tidak berpuas hati dengan laporan akhir Jawatankuasa Khas Pilihan Raya (PSC) berkenaan penambah baikan pilihan raya yang mana menurut mereka tidak menepati kehendak Bersih.

Pengerusi Bersama Bersih, Datuk Ambiga Sreenavesan sebelum ini berkata, pihaknya akan menerima nasihat Putrajaya supaya mendapatkan kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkenaan penganjuran perhimpunannya yang dijadualkan 28 April ini.

Namun begitu, pengerusi pemerhati pilihan raya itu, Datuk Ambiga Sreenavasan menegaskan kepada The Malaysian Insider, permohonan permit berkenaan perhimpunan itu hanyalah formaliti kerana Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hisahmuddin Hussein semalam sudah berkata perhimpunan itu boleh dilaksanakan.

“Pada saya, kami sebenarnya sudahpun mendapat kebenara. Sepanjang pengetahuan kami, kami sudah mendapat lampu hijau daripada kerajaan dan persutujuan DBKL hanyalah sebagai formaliti,” katanya yang dihubungi hari ini.

Ambiga, yang ditahan tahun lalu ketika perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai menambah, apabila kerajaan sudah memberikan kebenaran, pihak berkuasa tempatan sepatutnya secara automatik turut memberikan kebenaran.

“Bagaimanapun, kami akan menghubungi DBKL seperti yang diarahkan,” katanya.

Namun, bekas Pengerusi Majlis Peguam itu turut meletakkan harapan cadangan bertemu dengan DBKL sepertimana arahan daripada Datuk Seri Mohd Nazri Aziz semalam, bukanlah cubaan kerajaan untuk menyelesaikan isu itu.

Sekiranya pentadbiran Najib ikhlas dan tidak membantah perhimpunan itu, perhimpunan ketiga Bersih menuntut pilihan raya adil dan bersih, seharusnya tidak mendapat bantahan daripada mana-mana pihak, termasuk DBKL, katanya.

“Kami tidak mahu sejarah kembali berulang seperti masa lalu,” katanya.

Tambah Ambiga Bersih 2.0 sudah menyemak jadual Dataran Merdeka dan pada tarikh 28 April tersebut tiada sebarang aktiviti melibatkan penggunaan dataran berkenaan.

“Dataran Merdeka kosong pada hari dan masa itu,” katanya.

Dalam kenyataan berasingan kepada media semalam. Hishammuddin dan Nazri telah memberikan kebenaran kepada “Bersih 3.0”, sekiranya mereka memilih Dataran Merdeka sebagai tempat perhimpunan itu selesai.

Hishammuddin menggesa kumpulan berkenaan berbincang dengan pihak polis berkenaan lokasi yang sesuai, dan Nazri pula perhimpunan itu boleh berlangsung di Dataran Merdeka asalkan mereka mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan.

Selain itu, Nazri turut menambah Bersih 2.0 tidak perlu untuk memohon permit daripada polis atas semangat Akta Perhimpunan Aman 2011 (PAA).

Dataran Merdeka adalah lokasi di mana bendera Malaysia berkibar buat kali pertama selepas kemerdekaan, sebelum ini milik Kelab Diraja Selangor sebelum diambil alih oleh DBKL pada 1987.

Menurut laman web DBKL, mereka adalah pihak yang bertanggungjawab mengurus dan menjaga dataran terbabit.

PAA telah dicadangkan dan diluluskan tahun lalu selepas timbulnya bantahan berkenaan tindakan pihak polis menyuraikan peserta perhimpunan Bersih 2.0.

Dalam kenyataan media hari ini, jawatankuasa pemandu pertubuhan itu enggan melakukan perhimpunan tersebut di lokasi alternatif, memandangkan dalam PAA tidak menyebut Dataran Merdeka sebagai lokasi yang tidak dibenarkan untuk menganjurkan perhimpunan.

“Bersih 2.0 telah memilih Dataran Merdeka sebagai lokasi Bersih 3.0 atas faktor nilai sejarahnya dan selari dengan perjuangan rakyat menuntut kemerdekaan dan demokrasi Malaysia.

Kami tidak melihat sebarang alasan kenapa Dataran Merdeka tidak sesuai sedangkan banyak acara telah dilakukan di sini, termasuk sambutan ke 250 tahun Polis Diraja Malaysia,” kata kumpulan terbabit.

Mereka turut menambah mereka akan berbincang dengan polis untuk menyelesaikan isu itu dan berharap pihak berkuasa akan membantu untuk menjaga lalu lintas dan keselamatan peserta perhimpunan.

Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu menyaksikan ribuan peserta perhimpunan ditahan kerana perhimpunan itu tidak mendapat permit daripada pihak berkuasa.

Tindakan pihak polis menggunakan gas pemedih mata dan meriam air telah menerima kritikan antarabangsa dan dipercayai zmenjadi kunci kepada wujudnya PAA [TMI].

ReJaM© "28 April 2012, jam 2 petang Dataran Merdeka Kuala Lumpur! "


EmoticonEmoticon