Friday

Mengapa tiada tindakan ke atas Musa Aman?


SETELAH dikejutkan dengan skandal RM250 juta NFC dan jualan rahsia pertahanan negara dalam kes Scorpene, rakyat Malaysia dikejutkan sekali lagi oleh skandal rasuah yang maha besar. Kali ini, perlakuan rasuah didakwa dilakukan salah seorang pemimpin kanan Barisan Nasional di Sabah, iaitu tidak lain dan tidak bukan Ketua Menteri Sabah sendiri, Datuk Seri Musa Aman.

Laman web "Sarawak Report" dalam beberapa artikel sejak bulan April 2012 telah mendedahkan Datuk Seri Musa secara sistematik merompak harta pusaka rakyat Sabah sejak tahun 1996 dengan mengaut keuntungan haram melalui rasuah jualan balak.

Dalam satu artikel bertarikh 10 Jun 2012, "Sarawak Report" telah mempamerkan dokumen-dokumen yang mendedahkan Datuk Seri Musa telah menyimpan wang haram yang dianggar melebihi USD90 juta di bank-bank di Hong Kong dan Zurich.

Kami difahamkan bahawa kes tersebut telah disiasat badan anti-rasuah di Hong Kong iaitu Independent Commission Against Corruption (ICAC), yang menyatakan bahawa Datuk Seri Musa telah menggunakan sistem "money-laundering" melalui beberapa ajen - termasuklah Michael Chia dan peguam Richard Barnes - serta akaun-akaun di luar negara untuk cuba menyembunyikan identiti beliau.

Pada masa yang sama, "Sarawak Report" turut mendedahkan terdapat usaha melengahkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas kes rasuah ini yang dilakukan oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail. Untuk makluman semua, Tan Sri Abdul Gani Patail juga mempunyai pertalian persaudaraan dengan Datuk Seri Musa Aman.

Maka KEADILAN menggesa pihak-pihak bertanggungjawab memberi penjelasan berkaitan hal-hal yang berikut:

1) Demi membuktikan sama ada dakwaan "Sarawak Report" adalah benar atau tidak, Datuk Seri Musa Aman wajib membuat deklarasi aset sepenuhnya dalam masa yang terdekat, termasuklah segala aset dan harta yang disimpan dalam semua akaun-akaun bank di luar negara di atas nama beliau ataupun ahli-ahli keluarga terdekat.

2) SPRM wajib perjelas status siasatan ke atas Datuk Seri Musa Aman, sama ada pihak ICAC ada meminta bantuan siasatan di bawah "Mutual Assistance in Criminal Matters Act (2002)" berkaitan kes rasuah ini, serta apakah tindakan lanjut pihak SPRM berkaitan skandal ini.

3) Tan Sri Abdul Gani Patail wajib menjawab dakwaan bahawa beliau telah melengahkan siasatan SPRM sama ada secara langsung ataupun tidak, hingga mengakibatkan pihak ICAC tidak dapat mengambil tindakan terhadap Datuk Seri Musa.

4) Difahamkan siasatan terhadap bank UBS AG, yang didakwa membantu menyalurkan wang haram ("money-laundering") Datuk Seri Musa, akan bermula di Switzerland - mengapa Kerajaan Malaysia kelihatan seperti enggan melaksanakan sebarang tindakan undang-undang berkaitan dakwaan rasuah Datuk Seri Musa Aman?

Kenyataan Media oleh:

YB Nurul Izzah Anwar,
Ahli Parlimen Lembah Pantai merangkap Naib Presiden KEADILAN

YB Tian Chua,
Ahli Parlimen Batu merangkap Naib Presiden KEADILAN

YB Sivarasa Rasiah,
Ahli Parlimen Subang merangkap Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN

Darrell Leiking,
Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN


EmoticonEmoticon