Panas! Usul tergempar parlimen berhubung skandal Scorpene





Rujukan Anda :
Rujukan Kami : P121-LEMBAH PANTAI/PARLIMEN/12/06/USUL 01
Tarikh : 07 Jun 2012 / 17 Rejab 1433H


Yang Berhormat Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin Haji Mulia
Yang di-Pertua Dewan Rakyat
Parlimen Malaysia
Bangunan Parlimen
50680 Kuala Lumpur


Assalamualaikum w.b.t Tan Sri Datuk Seri Yang di-Pertua,

PERKARA: USUL MENANGGUHKAN MESYUARAT DI BAWAH PERATURAN MESYUARAT 18

Dengan hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas.

Merujuk kepada Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan (2), dengan ini saya mohon mencadangkan supaya Majlis Mesyuarat ditangguhkan dengan tujuan merundingkan perkara tertentu berkenaan kepentingan orang ramai yang berkehendak disegerakan.

Saya, Nurul Izzah Anwar ( Lembah Pantai ) mohon mencadangkan:

“Bahawa Dewan ini mendesak agar Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pertahanan Malaysia menjelaskan secara terperinci berkenaan dengan isu komisen dan penjualan dokumen rasmi sulit dalm kes Kapal Selam Scorpene.

Pendedahan isu komisen dan penjualan dokumen rasmi sulit Kementerian Pertahanan Malaysia mengenai Kapal Selam Scorpene kepada Syarikat Pertahanan Perancis seperti yang didakwa oleh SUARAM di Bangkok pada 30 Mei 2012 yang dikatakan menggugat keselamatan dan kedaulatan negara.”

Tan Sri Yang di-Pertua,

Suatu dokumen yang sangat sulit iaitu penilaian Tentera Laut Malaysia terhadap Kapal Selam kelas Scorpene yang akan dibeli oleh kerajaan itu didakwa telah "dibeli" oleh sebuah Syarikat Pertahanan Perancis.

Laporan yang didedahkan oleh Peguam Perancis, Joseph Breham, yang mewakili NGO hak asasi manusia, Suaram, mendakwa syarikat berkenaan didakwa membayar 36 juta euro (RM142 juta) kepada Terasasi (Hong Kong) Ltd, dikatakan untuk kerja-kerja "kejuruteraan komersial". Dokumen rahsia tersebut oleh Tentera Laut Malaysia adalah satu penilaian untuk tempahan kapal selam berkenaan, yang merupakan laporan yang sangat sulit.

Tan Sri Yang di-Pertua,

Pendedahan ini perlu diperjelaskan kepada Dewan Yang Mulia ini dan kepada Rakyat Malaysia betapa seriusnya isu ini lebih-lebih lagi melibatkan Rahsia Pertahanan Negara. Kita tidak mahu rahsia negara boleh digadaikan begitu sahaja demi kepentingan politik sesetengah pihak.

Dalam isu ini, saya menggesa Kerajaan Malayisa menjelaskan secara terperinci peranan Terasasi (Hong Kong) Sdn Bhd yang didakwa menjual rahsia negara kepada syarikat Perancis berhubung urusniaga RM 4 bilion untuk membeli kapal selam Scorpene.

Dewan Yang Mulia ini juga tidak pernah dimaklumkan berkenaan dengan peranan Terasasi dan juga peranan yang dimainkan Abdul Razak Baginda dalam transaksi yang melibatkan kertas penilaian Scorpene.

Saya memohon agar Dewan yang Mulia membincangkan serta merta perkara ini yang melibatkan rahsia pertahanan Negara dan perkara ini perlu dibahaskan dan diperjelaskan kepada rakyat Malaysia.

Akhir sekali, demi memelihara maruah Malaysia dan rahsia pertahanan Negara, atas perkara yang tertentu ini yang melibatkan kepentingan rakyat umum yang perlu disegerakan, saya mohon usul ini dibahaskan.

“Demi Malaysia Yang Lebih Baik”

Sekian. Wassalam.

Yang berkhidmat,





Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai



S.k Yang Berbahagia Datuk Roosme Binti Hamzah
Setiausaha Dewan Rakyat
Parlimen Malaysia
Bangunan Parlimen
Jalan Parlimen
50680 Kuala Lumpur



Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan