Mengapa sistem MIP-2 belum diperbaiki?

SAYA merujuk sistem Malaysian Air Traffic Services Modernization Programme (MATSMP) Improvement Phase 2 (MIP-2) yang dinaiktaraf syarikat Selex Sistemi Integrati (SELEX) dan Advanced Air Traffic Systems (M) Sdn Bhd (AAT). AAT juga merupakan syarikat dimiliki SELEX, walau sistem dibina dan disediakan oleh SELEX.

Dalam jawapan kepada soalan Parlimen bertarikh 12 Jun 2012 di mana saya bertanya jumlah kos perbelanjaan dan prestasi sistem kawalan udara yang dinaiktaraf oleh AAT ini, Menteri Pengangkutan (MoT) menyatakan bahawa kos keseluruhan adalah RM128.4 juta, dan sistem tersebut "berada di tahap yang baik". Malangnya Menteri gagal meyakinkan umum tentang kesiapsiagaan dan keberkesanan sistem radar MIP-2.

Justeru sekali lagi, pada 25 Jun 2012, saya telah membangkitkan beberapa perkara yang masih belum menerima jawapan daripada Kementerian Pengangkutan iaitu:

1. Status kesediaan dan tahap keselamatan sistem MIP-2 jika ia telah sempurna dipasang mengikut piawaian dan menerima Sijil Penyiapan Praktikal (Certificate of Practical Completion) yang membolehkan bayaran penuh dibuat. Senarai penuh "gangguan kecil" yang telah dibaikpulih, isu-isu yang sedang diuji di dalam sistem testbed DCA, dan isu-isu yang sedang dianalisa di kilang Selex di Itali wajib diberi sebagai pembuktian keberkesanan sistem MIP-

2.Tambahan lagi, surat pengakuan (Letter of Undertaking) SELEX kepada pihak Jabatan Penerbangan Malaysia (DCA), bertarikh 21 Disember 2011 menyatakan janji kontraktor tersebut untuk memperbaiki segala kecacatan yang dikesan di dalam sistem radar menjelang Mac 2012.

Malangnya, dalam sepucuk emel yang diserahkan kepada saya, ternyata sehingga 27 Jun 2012, masalah-masalah berikut, antaranya kecacatan serius, dan bukan sekadar kecacatan sistem kecil, masih lagi berlaku seperti berikut: (Lampiran 1)

a. pada 25 Jun 2012, dari 0614z hingga 0625zkesemua sistem radar telah beku (frozen) selama lima saat. 

b. masalah 'rebooting'  komputer pegawai-pegawai trafik udara.

c. masalah 'flight plan' yang harusdikemaskinikan datanya secara manual dan bukan secara otomatik seperti dalam spesifikasi.

d. masalah tiada pertukaran teknologi seperti yang ditetapkan kontrak dimana DCA masih terpaksa menunggu jurutera dari Itali yang melambatkan sebarang bantuan teknikal yang diperlukan sedangkan kos kontrak dikatakan tinggi  itu diperlukan kerana akan ada pertukaran teknologi (technology transfer).

Kesemua kecacatan di dalam sistem ini memaksa kesemua stesen kerja (workstation) memberi laporan harian berkait dengankeselamatan pegawai-pegawai trafik udara.

2. Kementerian Pengangkutan wajib menjawab samada kontraktor SELEX bersama AAT telah gagal menepati janji untuk membaikpulih sistem radar yang mereka sediakan sehingga hari ini? Adakah Kementerian akan membatalkan kontrak yang diberi kepada mereka dan melaksanakan tender terbuka bagi menjamin keselamatan ruang udara Malaysia?

3. Memberi penjelasan tentang pemberian kontrak penyelengaraan 5+5 tahun kepada AAT secara runding terus - dianggarkan berjumlah RM244.5 juta. Hujah bahawa tiada syarikat lain yang memiliki kepakaran sistem yang dipasang SELEX dan AAT tidak boleh digunapakai bila setiap lokasi yang tesenarai dalam Lampiran 2 sepatutnya ditender secara berasingan untuk mendapatkan nilai terbaik dengan menggunakan dana rakyat. Tambahan lagi, saya difahamkan bahawa sistem di KLIA sedia ada adalah gabungan sistem-sistem yang dibekalkan 10 syarikat berbeza.

4. Keperluan segera demi keselamatan ruang udara dengan meyakinkan rakyat melalui satu audit sepenuhnya oleh ICAO terhadap sistem MIP-2 ini. Untuk makluman, kali terakhir ICAO membuat audit di Malaysia adalah pada 2005. Sekiranya kerajaan tidak mempunyai dana mencukupi, saya bersedia memulakan kutipan derma kilat daripada masyarakat awam untuk membiayai kos audit jika perlu kerana saya difahamkan ICAO bersedia membuat audit secara percuma dengan syarat ICAO dijemput secara rasmi oleh kerajaan.

5. Selain itu saya menjemput pihak berkepentingan (stakeholders) seperti syarikat-syarikat penerbangan dan kesatuan juruterbang untuk meminta kerajaan menjalankan audit ICAO dengan kadar SEGERA kerana saya yakin industri penerbangan tidak mahu dilihat oleh rakyat hanya mementingkan keuntungan dan bukan keselamatan serta kepentingan rakyat dan penumpang antarabangsa.

Oleh yang demikian, saya menuntut agar Perdana Menteri serta kabinetnya memberikan perhatian SEGERA memandangkan Kementerian Pengangkutan mengambil remeh masalah keselamatan ruang udara negara sebelum kejadian yang tidak diingini berlaku.

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
merangkap Naib Presiden KEADILAN
Sent from my BlackBerry®

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan