Perutusan MB Selangor sempena Aidilfitri dan kemerdekaan

 
Bismillahirrahmanirrahim…
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
 
Terlebih dahulu selawat dan salam buat junjungan nabi Muhammad S.A.W., ahli keluarga, dan sahabat baginda. Merafak kesyukuran kehadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnian-Nya dapatlah kita menyempurnakan bulan Ramadhan Al-Mubarak dengan penuh kesabaran, keimanan dan ketakwaan.
Masa berlalu dengan begitu pantas.

Tanpa disedari kita sudah hampir selesai melaksanakan tuntutan Rukun Islam ke-3 dalam satu perjalanan spiritual dan menguji ketahanan fizikal.
Hari Raya Aidilfitri diraikan sebagai tanda kemenangan dan kesyukuran kita di atas segala pengorbanan dan penyempurnaan ibadah puasa dan amalan-amalan lainnya sepanjang Ramadhan.

Di samping kita sibuk dengan persiapan menjelang hari lebaran yang bakal tiba, janganlah kita lalai dengan kewajipan sebagai umat Islam khususnya membayar zakat fitrah. Kewajipan itu, merupakan pelengkap kepada amal ibadah yang telah kita lakukan sepanjang Ramadhan.

Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, saya menyeru agar kita tidak keterlaluan dalam merayakan hari mulia ini dan sentiasa mengamalkan sikap bersederhana dan tidak bermegah-megah serta mengelak pembaziran.

Pada tahun ini, kita bertuah kerana belum habis perayaan Hari Raya Aidilfitri diraikan, kita bakal menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-55 pada 31 Ogos 2012.
Kedua-dua perayaan ini adalah  keistimewaan kepada negara kita yang mempunyai kepelbagaian agama dan bangsa tetapi mampu hidup aman dan harmoni. Dalam kita bergembira menyambut perayaan Aidilfitri, janganlah kita lupa jasa dan pengorbanan pejuang dalam menuntut kemerdekaan.

Kemerdekaan dalam erti kata lain turut menuntut kepentingan rakyat untuk bersatu padu, berjuang atas prinsip kebebasan dan keadilan.

Berlandaskan kepercayaan ini, Kerajaan Negeri Selangor optimis bahawa perubahan akan terus berlaku, khususnya di peringkat negeri Selangor ke arah pembentukan sebuah masyarakat yang maju, adil dan berdaya saing.

Dalam mencapai hasrat tersebut, Kerajaan Negeri Selangor pada hari ini beriltizam dalam memastikan jentera pentadbiran kerajaan negeri berjalan lancar seiring dengan prinsip-prinsip ketelusan, memerangi jenayah rasuah, penyalahgunaan kuasa dan melaksanakan reformasi dalam urus tadbir secara komprehensif.

Oleh itu, Kerajaan Negeri Selangor sekali lagi menyeru agar setiap rakyat Malaysia, khususnya di negeri Selangor untuk berfikir secara matang dan terbuka bagi meningkatkan kefahaman dan penghayatan tentang erti kemerdekaan yang sebenar.

Pada kesempatan ini, Kerajaan Negeri Selangor menyeru setiap lapisan masyarakat bersama-sama memanfaatkan dwi-perayaan untuk mengeratkan lagi tali silaturrahim, memupuk semangat muhibbah dan persaudaraan sesama rakyat Malaysia.

Akhir kata, saya bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Hari Ulang Tahun Kemerdekaan Negara yang ke-55. Sambutlah perayaan ini dengan penuh rasa kesyukuran dan keinsafan.
 Sekian,

Wabillahi taufik Wal Hidayah, Wassalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh.
Sent from my BlackBerry®

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan