Thursday

Imam masjid dipecat gara-gara menegur aktiviti karaoke dalam kawasan surau


SEORANG imam di Masjid Dato' Abdul Ghani, Kampung Sagil, Parit 2 Ledang, Tangkak Johor dipercayai telah dipecat gara-gara menegur satu aktiviti berkaraoke di dalam kawasan surau.

Tambah mengejutkan, surat pemecatan imam tersebut diserahkan ketika beliau hendak menaiki mimbar bagi menyampaikan khutbah solat Jumaat. Tongkatnya dikatakan dirampas oleh pegawai agama yang bertugas menyerahkan surat tersebut.

Sumber memberitahu bahawa imam tersebut, Ustaz Mohd Nazri Bin Musa telah menghantar satu mesej pesanan ringkas kepada Ketua Cawangan Umno Parit 1, Senin Kadong menegur penganjuran karaoke untuk program anak angkat UTHM di dalam kawasan Surau Parit 1.

Keesokan harinya, Ketua Cawangan Umno Parit 1 itu bagaimanapun berang lalu ke rumah imam tersebut  memarahi dan menengkingnya. Ketua Cawangan itu mendakwa imam tersebut telah mengganggu tugasnya malah dia turut menghalau imam itu agar berambus keluar dari Sagil.

Tidak cukup dengan itu, dia juga turut memberi amaran akan meminta Menteri Besar Johor dan Kadi untuk memecat Ustaz Nazri yang bertugas sebagai Imam 1 di Masjid Dato' Abdul Ghani.



Ustaz Nazri telah dipecat sebagai imam dengan alasan ia merupakan keputusan sebulat suara mesyuarat Ahli Jawatankuasa Masjid. Namun apabila ditanya kepada ahli jawatankuasa masjid, mereka langsung tidak mengetahui tentang pemecatan tersebut.

Kes ini sudah difailkan di mahkamah untuk mencabar pemecatan tersebut dengan menamakan Pejabat Kadi Daerah Ledang, Jabatan Agama Islam Negeri Johor dan Majlis Agama Islam Negeri Johor sebagai respondens.







ReJaM© "Baru pegang jawatan Ketua Cawangan Umno sudah berlagak macam samseng... "


EmoticonEmoticon