Teknologi penapisan air bermembran: Muhyiddin tidak dapat maklumat tepat

TEMPOH hari Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang beriya-iya mahu projek langat 2 yang menelan belanja berbilion ringgit dilaksanakan, mendakwa cadangan Menteri Besar Selangor untuk menggunakan sistem penapis air bermembran sebagai tidak praktikal.

Beliau mendakwa sistem penapis air bermembran itu melibatkan kos yang tinggi [Bernama].



Di bawah ini jawapan yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar Selangor berhubung perkara ini.

Timbalan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin ternyata tidak diberi penjelasan dan maklumat yang tepat mengenai teknologi penapis air membran apabila mendakwa teknologi ini tidak praktikal kerana mahal dan tidak mampu menambah bekalan air.

Mungkin tujuh tahun lalu teknologi penapis air membran ini mahal kerana baharu diperkenalkan tetapi sekarang tidak lagi. Teknologi ini sangat kompetitf dan sekarang digunakan untuk memproses air laut menjadi air mentah di beberapa negara di Timur Tengah.

Kerajaan Selangor telah memanggil perunding daripada Kanada yang telah pun memberikan taklimat terperinci mengenai penggunaan teknologi ini yang kita anggap lebih praktikal dan menjimatkan berbanding menembuk banjaran Titiwangsa untuk membina terowong bawah tanah dan memusnahkan alam sekitar untuk pembinaan empangan di Pahang.

Menerusi teknologi ini, Negeri Selangor akan mempunyai bekalan air yang mencukupi tanpa perlu membeli air daripada Pahang. Kita mampu meningkatkan kapasiti air dengan hanya membina teknologi penapis air membran di loji pembersihan air sedia ada.

Penggunaan teknologi penapis air membran ini mampu menambahkan satu juta meter padu air sehari dengan hanya menggunakan 1/3 dari kos pembinaan Langat 2.

Purata keperluan air di Selangor dan Lembah Klang adalah sekitar empat juta meter padu sehari tetapi bekalan yang sampai kepada pengguna hanyalah tiga juta meter padu kerana satu juta meter padu ‘hilang’ atau Non Revenue Water (NRW). Justeru, teknologi ini mampu menampung tambahan keperluan satu juta meter padu setiap hari.

Sekiranya Timbalan Perdana Menteri tidak faham mengenai teknologi ini, kita sedia memanggil perunding daripada Kanada untuk memberikan taklimat kepada beliau dan pegawai-pegawai di Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) serta pakar-pakar air di Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Kerajaan Selangor mengulangi pendirian bahawa kerajaan negeri tidak menentang Langat 2 tetapi perlu disertakan sebagai pakej penyusunan semula industri perkhidmatan air yang terbantut kerana tiada kerjasama dari kerajaan Pusat dan syarikat konsesi.

Penyusunan semula perkhidmatan air di Selangor adalah penyelesaian menyeluruh yang membolehkan pengguna di Selangor dan Lembah Klang menerima perkhidmatan bekalan air lebih efisen pada harga munasabah.

TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan