Friday

Red Giants: SAMM Selangor Percaya Sumbangan Kerajaan Negeri Adalah Memadai


Kenyataan Media
27 September 2013

Red Giants: SAMM Selangor Percaya Sumbangan Kerajaan Negeri Adalah Memadai

Pasukan Selangor atau dikenali sebagai The Red Giant merupakan sebuah pasukan yang evergreen dan digeruni lawan sepanjang masa dalam kancah bolasepak tempatan. Tidak dinafikan, perkembangan yang baik dalam pembangunan bolasepak pasukan Selangor seharusnya diberi perhatian.

Namun sebagai anak muda progressif, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Selangor menggesa semua pihak yang saban hari mengkritik dasar kerajaan negeri pimpinan Khalid Ibrahim dalam sudut pembangunan sukan supaya lebih proaktif dan positif. 

SAMM Selangor difahamkan kerajaan negeri telah menyumbang lebih 7 juta setahun untuk pembangunan sukan bolasepak negeri. Jumlah bantuan tersebut adalah yang tertinggi berbanding negeri lain. Apakah bantuan sebanyak lebih RM 7 juta setahun tidak memadai?

SAMM Selangor percaya kerajaan negeri telah memberikan sokongan yang besar namun perlu diingat bahawa sukan bolasepak seharusnya lebih bertenaga dengan tajaan syarikat besar dalam negara. Pihak yang mengkritik harus meneliti apakah sebabnya bolasepak tempatan kurang mendapat tajaan yang besar sehingga memaksa kerajaan negeri dilihat 'wajib' menjadi penaja utama.

SAMM Selangor melihat FAM sebagai satu badan yang gagal membawa bolasepak tanahair ke tahap komersial yang tinggi. FAM perlu dirombak dan diberi nafas baru maka bolasepak tempatan akan berpotensi untuk lebih bersinar seterusnya mendapat sokongan besar dari syarikat gergasi dan menarik minat lebih ramai pelabur.

Pelaburan besar-besaran dari pihak kerajaan negeri tidak semestinya akan membawa hasil lumayan. Pasukan negeri Melaka sebagai contoh, telah dilaburkan jutaan ringgit tetapi hasilnya tidak seperti yang diharapkan. Ia merubah menjadi satu pembaziran.

SAMM Selangor meminta agar semua pihak lebih memikirkan bagaimana dana peruntukkan kerajaan negeri dibelanjakan dengan manfaat terbaik terhadap rakyat tanpa mengabaikan perkembangan sukan di peringkat negeri. Kebajikan rakyat adalah keutamaan dan tidaklah perlu menggadai negeri hanya semata-mata untuk sebuah pasukan bolasepak yang kuat. Berbelanja biarlah dengan berpada-pada, RM 7 juta setahun yang diperuntukkan itu sudah lebih dari mencukupi dalam aspek bantuan kerajaan negeri.

SAMM Selangor juga menggesa kepada semua penyokong agar tidak hanya 'bising' ketika pasukan negeri tidak berada di puncak prestasi, tetapi memberikan sokongan tanpa belah bahagi walau di mana pun kedudukan pasukan negeri.

Azhar Achil
Penyelaras Bersama
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Selangor


EmoticonEmoticon