Thursday

Obama Ke Asia Pasifik April 2014 Untuk Meterai TPPA?


Kenyataan Media  
28 November 2014

Obama Ke Asia Pasifik April 2014 Untuk Meterai TPPA?  

Media Asia-Nikkei dan beberapa media di Jepun dan Filipina telah memetik kenyataan Penasihat Keselamatan Kebangsaan Amerika Syarikat, Susan Rice yang menyatakan Barrack Obama, Presiden Amerika Syarikat akan membuat lawatan rasmi ke Asia Pasifik pada bulan April 2014. Kenyataan tersebut juga menyebut bahawa pentadbiran Obama terus kekal fokus kepada hubungan dengan rantau Asia-Pasifik setelah kunjungan beliau sebelum ini gagal kerana masalah dalaman Amerika Syarikat.  

Solidariti Anak Muda Malaysia melihat kenyataan Susan Rice ini mempunyai hubungan dengan siri rundingan Perjanjian Perkongsian Asia Pasifik (TPPA) yang sepatutnya dimeterai pada penghujung tahun ini sebelum Amerika Syarikat memulakan satu lagi perjanjian serupa dengan Kesatuan Eropah awal tahun 2014 nanti. SAMM melihat keghairahan Obama untuk hadir ke rantau Asia Pasifik secepat mungkin adalah untuk memastikan setiap negara peserta akan menandatangani Perjanjian TPPA setelah gagal dilakukan pada bulan Oktober lepas.  

Tambahan pula, siri terbaru rundingan TPPA baru sahaja berakhir pada 24 November 2013 di Salt Lake City, Amerika Syarikat. Sudah pastilah, pentadbiran Obama dan syarikat-syarikat multinasional Amerika tidak mahu menunggu lama lagi untuk memeterai perjanjian penjajahan ekonomi kapitalis terhadap negara-negara Asia Pasifik ini.  

SAMM turut memberi amaran kepada rejim Pemerintah untuk tidak tunduk kepada tekanan pentadbiran Obama dengan menandatangani perjanjian TPPA selagi mana rakyat tidak didedahkan mengenai butiran perjanjian, kebaikan dan keburukan perjanjian ini terhadap negara dan juga segala kepentingan negara dan rakyat tidak boleh dikompromi atau digadai kepada mana-mana negara atau entiti perniagaan apatah lagi milik negara luar.

SAMM berikrar akan terus memberikan tekanan demi tekanan kepada rejim Pemerintah agar menarik diri daripada rundingan ini dan dalam masa yang sama akan terus mengekalkan momentum Bantah TPPA dengan memberikan pencerahan kepada segenap penjuru kelompok rakyat. Siri jelajah penerangan TPPA ke seluruh negara yang dijalankan sebelum ini akan diteruskan dengan risalah-risalah penerangan bahana TPPA kepada negara tercinta ini.  

SAMM sekali lagi menegaskan untuk menolak sebarang bentuk perjanjian yang tidak telus ini selagi mana rakyat tidak mengetahui apakah kandungan perjanjian yang bakal memberikan kesan kepada kehidupan seluruh rakyat selepas ini. Setidak-tidaknya rejim Pemerintah harus membenarkan Ahli-Ahli Parlimen untuk menerima akses kandungan perjanjian ini agar kepentingan dan kesejahteraan rakyat serta negara dapat diperhalusi di peringkat Dewan Rakyat.  

Kedaulatan dan kesejahteraan negara bukankah sesuatu perkara yang boleh dikompromi. SAMM tidak akan sesekali membenarkan nasib dan masa depan negara ini dibuli oleh syarikat-syarikat gergasi asing dan negara kuasa besar, apatah lagi membiarkan negara berhadapan dengan risiko tuntutan jutaan dolar mana-mana syarikat asing yang sentiasa mencari jalan mudah mengaut untung tanpa memikirkan soal kesihatan umum, kesejahteraan alam sekitar dan kedaulatan sesebuah negara dalam menentukan dasar fiskal dan perundangan yang baik untuk rakyatnya.

Sebarang perjanjian yang menghala kearah melemahkan kedaulatan negara ini seharusnya ditolak oleh semua lapisan rakyat tanpa mengira ideologi politik partisan. Ini masa depan negara kita, biar kita yang tentukan bukan syarikat kapitalis asing

Mohd Faizal B. AB Rahman
Penyelaras Kebangsaan
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)


EmoticonEmoticon