Thursday

Nebraska 2013


Nebraska 2013

Saya rasa saya patut menulis tentang hal ini. Ia mempunyai banyak kebaikan untuk dijadikan renungan kita bersama. Kepada sesiapa yang masih mempunyai ibu dan bapa yang sedang sakit, atau tua harus membaca cerita ini atau menonton filem ini sehingga selesai.

Seorang ayah yang sudah tua, nyanyuk dan sudah hampir hilang kesasaan mendapat satu surat 'scam' daripada sebuah syarikat yang memaklumkan kepadanya bahawa dia memenangi 1juta Usd.

Dia percaya surat itu. Sangat percaya. Dengan penuh susah dan payah dia ingin berjalan kaki mahu ke Lincoln untuk mendapatkan habuannya.

Lincoln yang jauhnya hampir 1000km daripada rumahnya di Billings.Dia di tahan polis dan dihantar ke rumah. Di marahi isteri dan anak anaknya. Dia masih juga berusaha untuk pergi lagi. Tapi ditahan anaknya sekali lagi di pertengahan jalannya. Dia nyanyuk.

Filem arahan Alexander Payne's ini menampilkan lakonan hampir kesemua orang orang tua. Ia cukup tulus. Tiada hero atau heroin yang mulus dan terkenal.Hanya berbekalkan skrip dan jalan cerita yang sangat baik. Ia sangat jujur dalam menceritakan teladan kepada kita.

Akhirnya si anak kedua yang sangat kasihankan si ayahnya mengambil tanggungjawab untuk menghantar si ayah ke tempat 'duit' itu.

Itupun setelah dia bersungguh menanyakan dan menerangkan kepada di ayah bahawa apa yang diperolehi itu hanya sebuah ilusi. Si ayah tetap percaya ianya benar. Dia kan sudah nyanyuk.

Perjalanan yang jauh itu menjadi sangat lelah bila si ayah tadi seringkali mengganggu. Si ayah mahu berhenti bila berjumpa keretapi lama. Si ayah hilang di bar kerana berhenti minum beer dan berbagai lagi gangguan.

Akhirnya mereka mengambil keputusan untuk singgah di dalam perjalanan itu ke kampung asal ayahnya. Kampung asalnya masih di diami oleh adik ayahnya. Di sambut dengan penuh skeptikal. Orang miskin bertandang. Tentu datang untuk menyusahkan keluarga mereka. Lagipun ayahnya sudah nyanyuk.

Setelah berbasa basi dan memberitahu tujuan asalnya untuk mengambil duit usd1 juta, keluarga ayahnya berubah. Layanan yang terima umpama seorang YB masuk kampung. Hampir ke semua memuji dan memuja.

Tidak sekadar pujian daripada keluarga, rakan taulan yang sememangnya sangat mencemuh sebelumnya sampai mengadakan jamuan meraikan kepulangannya. Dia di angkat seumpama hero yang baru pulang daripada medan perang.

Puas dijelaskan oleh anaknya bahawa, apa yang dikatakan ayahnya itu hanyalah ilusi, rakan rakan ayahnya itu tidak percaya. Sebagaimana ayahnya, gamaknya mereka semua pun sudah nyanyuk.

Mereka semua malah mengherdiknya dengan kata kata yang sinis bahawa si anak ini sengaja tidak mahu membahagi bahagikan duit yang bakal diperolehi oleh ayahnya. Manusia bila dengan duit, begitulah lagak biasanya.

Si anak, walau sudah jauh berjalan, namun masih tega memujuk si ayah. Kita pulang saja ayah. Apa yang ayah impikan itu sebenarnya hanya sebuah ilusi. Fatamorgana.

Ayahnya yang bukan sahaja nyanyuk malah sangat keras hatinya. Tidak menerimanya, malah berkeras akan terus berjalan kaki seandainya anaknya tidak mahu menghantarnya. Mengalah.

Akhirnya, setelah berhenti rehat selama dua hari di situ, mereka meneruskan perjalanan ke Lincoln. Sebanyak 500 km lagi harus di tempuhi oleh mereka.

Bila didesak oleh anaknya kenapa ayahnya sangat teruja untuk mengambil duit itu, "aku ni insan yang sangat tidak berguna, aku hanya pemabuk yang sangat teruk, aku hanya inginkan sebuah truk dan sebuah kompresor angin. Semuanya ini, aku mahu tinggalkan untuk kamu. Agar kelak nanti kau tidak akan mengata kepadaku, aku tidak meninggal apa apa untukmu".

Mendengar itu, anaknya berasa hiba. Seorang ayah, walau seburuk mana ia, walau semasa hidupnya sangat tidak berguna masih meletakkan keutamaan terhadap anak anaknya. Adam Fazly, papa sangat menharapkan anda menontonnya.

Akhirnya anak dan ayah sampai ke syarikat itu. Bila di terangkan tujuan kehadiran mereka, dengan penuh sinis penjaga premis itu mengatakan nombor yang tertera di 'surat' ayahnya itu hanya memenangi sebuah topi yang tertulis Prize Winner. Aduh.

Rilek, tanpa marah ayah menyarung topi itu dengan penuh bangga.

Sebelum pulang, anak yang masih hiba dengan kata kata ayahnya, mengambil keputusan untuk menjual keretanya dan membeli sebuah truk  dan sebuah kompresor untuk ayahnya.

Ayahnya sangat terkejut. Si anak menipu mengatakan sebenarnya dia telah 'deal' dengan syarikat yang ayahnya menang itu untuk trak dan kompresor.

Ayahnya sangat gembira dan berkata "mataku akan tertutup dengan penuh seandainya aku mati sekarang, dan anak cucuku tidak akan mengutukku lagi"

Mereka akhirnya pulang dengan perasaan penuh bangga. Si ayah berbangga kerana impiannya tercapai, si anak pun berbangga kerana dapat memuaskan impian ayahnya.

Kehidupan kita hari ini, kita sangat memerlukan pemahaman tentang perkara ini. Bagaimana si ayah dan ibu yang terpaksa memahami anak semasa kecil dan membesarkan mereka, si anak juga sepatutnya memahami si ayah atau ibu walau mereka nyanyuk dan mula meminta sesuatu yang pelik dan berbagai bagai.

Sesungguhnya membahagiakan mereka adalah sebahagian keutamaan hidup kita.

Percayalah. Walau ia sangat sukar, kita pasti akan mendapat balasan daripadaNYA. Jika tidak di dunia, di akhirat nanti ia tentu pasti.

Firman Allah Taala artinya:
“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan
menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada kedua orang tua dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan
kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak
mereka, dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.” (Qs. Al-Israa: 23)

Semoga anda mendapat sesuatu.Sekian.

Hj Osama @ Hj Joe
Ketua Penerangan DPPK Bachok
Merangkap Penyelaras SAMM Kelantan

2 comments

Syahdu betol..

Teringat pulak kisah perjalanan sorang hamba Allah yg nak ke putrajaya tp tak kesampaian, akhirnya singgah di kajang utk bertapa dgn cara yg sungguh nyanyok.

Kih.kih.kih.kih...
Waahahahaha.. Oops terlebih sudah.. Ini lagi syahdu.. Jadi kesimpulannya janganlah kita melakukan perkara yang tidak bermoral..


EmoticonEmoticon