Thursday

Isu Daim: Anwar konsisten dedah kepincangan


SAYA ingin memberikan sedikit maklum balas mengenai kenyataan Ariff Sabri Abdul Aziz, ahli parlimen Raub mewakili DAP yang mempersoal Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang di Parlimen Malaysia yang juga Ketua Umum KEADILAN yang dikatakan meletakkan keutamaan salah dalam strategi,  bersungguh menentang Daim Zainuddin dan bukan untuk menjatuhkan BN daripada kuasa, khususnya dengan mendedahkan kelemahan kepimpinan Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia.

Sebagai ahli politik dan penganalisa isu semasa yang cekap, saya berpandangan bahawa Ariff Sabri seharusnya menyedari bahawa komitmen Anwar Ibrahim kepada usaha mereformasi politik negara, menjatuhkan BN dan mengeratkan hubungan antara parti-parti pembangkang tidak wajar dipersoalkan lagi.

Beliau mungkin nampak bersungguh dalam menawarkan diri memberi maklumat berkenaan kes Daim, namun jangan dilupakan bahawa beliau juga tegas menyatakan pendirian dan sikap terhadap pentadbiran di bawah kepimpinan BN yang lain sejak zaman Dr. Mahathir lagi. Malah, sejak 1998 sehingga hari ini Anwar telah konsisten menyatakan pendiriannya terhadap dakwaan rasuah terhadap Daim.

Saya yakin, sebagai sahabat Daim, Ariff sendiri sedar perkara ini.

Apakah Daim boleh dilepaskan begitu saja hanya kerana beliau bukan ahli politik yang memegang jawatan utama dalam kerajaan kini? Saya yakin komitmen untuk mendedahkan banyak kepincangan yang disorok sekiranya Pakatan Rakyat berkuasa akan menjelaskan hal ini dan inilah yang sangat ditakuti oleh sesetengah pencatur politik seperti Daim.

Berkaitan keputusan mahkamah, saya fikir kita semua jelas bahawa ia adalah fitnah jahat yang sengaja dibuat utuk menyekat kemaraan beliau dalam politik. Ini bukan serangan terakhir dan satu-satunya dakwaan yang akan dihadapkan kepada beliau.

NIK NAZMI NIK AHMAD
Ketua Angkatan Muda Keadilan


EmoticonEmoticon