Pendidikan Malaysia setaraf negara maju hanya retorik dan ilusi — Nurul Izzah

SAYA merujuk kepada kenyataan Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh yang berkata "Pendidikan tinggi negara kini setaraf dengan di negara maju termasuk United Kingdom, Jerman dan Australia dari segi kualiti pendidikan." Beliau menyokong hujahnya dgn mengatakan bahawa terdapat lebih 135,000 pelajar asing yang sedang mengikuti pengajian di beberapa buah universiti tempatan di negara ini." 
Kenyataan Menteri ini amat naif; kewujudan pelajar asing di Malaysia secara automatik menobatkan pendidikan negara hebat di mata dunia. Logik sebegini memperlihatkan jua Malaysia selaku negara maju kerana ramai pekerja asing yang datang mahu bekerja di Malaysia.

QS World Ranking 2014 tidak memperlihat sebuah pun universiti-universiti Malaysia tersenarai di dalam ranking 100 teratas. Sebagai perbandingan, terdapat 19 Universiti daripada United Kingdom, 3 universiti dari Jerman, dan 8 universiti daripada Australia yang berjaya tersenarai ranking 100 teratas.   

Lebih dekat dengan Malaysia pula memperlihatkan 4 universiti dari China, 2 universiti dari Singapura dan 3 universiti dari Korea Selatan meraih Kedudukan 100 teratas senarai tersebut. Laporan EPU dengan kerjasama Bank Dunia pula mendapati bahawa syarikat-syarikat tempatan bersetuju bahawa graduan Malaysia luar negara lebih bermutu berbanding graduan universiti tempatan, dan graduan luar negara lebih mahir dalam pelbagai kemahiran termasuk teknikal. 

Skor purata universiti asing berbanding universiti awam tempatan bagi kemahiran-kemahiran ini ialah 3.69 berbanding 3.26, 3.97 berbanding 3.02 dan 3.44 berbanding 3.01 masing-masing. Laporan EPU itu juga menyebutkan bahawa Malaysia perlu memberikan perhatian yang lebih besar kepada kekurangan-kekurangan yang ada pada sistem pendidikan untuk  meningkatkan peluang pelajar-pelajar untuk mendapatkan pekerjaan sebelum mereka melangkah ke alam pekerjaan. 
Dalam laporan "Malaysia Economic Monitor, June 2014: Boosting Trade Competitiveness", Bank Dunia mendapati bahawa dalam tahun 2012, seramai  51,835 daripada 202,328 graduan (25.5%) tidak mempunyai pekerjaan. Statistik di atas menunjukkan kenyataan Datuk Seri Idris amat naif dan tidak tepat.

Datuk Seri Idris juga berkata, "Malaysia kini menduduki tempat ke-9 daripada 30,000 universiti di seluruh dunia yang menjadi tarikan pelajar asing untuk datang belajar dalam pelbagai bidang pengajian."

Pertama, universiti manakah yang dimaksudkan memandangkan Malaysia bukanlah sebuah universiti? 

Kedua, pelajar-pelajar asing ini berasal dari mana? Adakah daripada negara-negara seperti United Kingdom, Jerman atau Australia? Ketiga, apakah sebuah kajian telah dijalankan untuk mengetahui faktor-faktor sebenar yang menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan mereka? 
Seperti kenyataan saya sebelum ini dan pendapat-pendapat pemikir bidang pendidikan, pentingnya kebebasan akademik untuk mengangkat martabat dan mutu pendidikan negara. Menteri tetap gagal mengambil kira aspek kebebasan akademik pelajar. 

Walaupun Perenggan 15(2)(c) daripada Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) digugurkan, namun kebebasan pelajar serta ahli akademik terus disekat dengan penggunaan-penggunaan undang-undang lain. Ini dibuktikan dengan penangkapan dan penghukuman ke atas pelajar seperti Adam Adli dan Fahmi Zainol yang dihukum oleh universiti masing-masing. Malah, pensyarah dan ahli akademik juga disekat kebebasan akademiknya, seperti Professor Azmi Sharom yang didakwa dibawah Akta Hasutan.

Saya pernah mencadangkan supaya sebuah Jawatankuasa Terpilih Parlimen dwi-partisan untuk sistem pendidikan ditubuhkan bagi mengkaji dan mencadangkan penambah-baikkan kepada sistem pendidikan Malaysia. 
Selain daripada itu, sebuah Majlis Pendidikan Kebangsaan yang akan dianggotai oleh wakil-wakil daripada kesemua pemegang hak termasuk parti politik, para akademik dan wakil-wakil yang berkenaan perlu ditubuhkan segera bagi menyelesaikan kelemahan-kelemahan yang ada, pada kesemua peringkat, rendah, menengah dan tinggi, dengan kadar segera.

Justeru, saya ingin mengingatkan Menteri untuk berhenti bersembunyi dibelakang angka-angka yang tidak mempunyai sebarang makna, terutamanya dalam konteks yang kabur seraya melaungkan universiti kita hebat. Kita wajar jujur, ikhlas menilai kelemahan pendidikan demi untuk bergerak kehadapan dengan teratur dan baik.

NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN KEADILAN
PENGARAH JAWATANKUASA PILIHANRAYA PUSAT KEADILAN

22 Februari 2015

2 Comments

  1. Wahhhh...
    Hebat promosi diri!!
    Ada peluang ker kerusi ketua pembangkang tu?

    ReplyDelete
  2. Betul tu nurul izzah , mmg x De kualiti graduan Malaysia ni,, pasal tu yg di ajar DLM uni tak masuk otak Dan di amalkan tapi ilmu tutuh jubo pulak yg di amalkan. X caya Tanya banduan graduan UM d sg buloh tu.

    ReplyDelete

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan