Tuesday

Perutusan Hari Thaipusam, DS Anwar Ibrahim


‎SAYA ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Thaipusam kepada masyarakat Hindu di Malaysia dan seluruh dunia.
 
Sebagaimana dihurai oleh para sarjana dan sejarawan, perayaan ini disambut pada hari bulan penuh dalam bulan kesepuluh atau 'Thai' dalam kalendar Tamil, bersempena peristiwa Dewa Murugan dikurniakan lembing 'Vel' oleh bondanya Dewi Parvati untuk memerangi dan menewaskan syaitan kejahatan yang dikenali sebagai Soorapadman.
 
Mengikut faham Hinduisme, upaya Dewa Murugan memerangi Soorapadman ini sebagaimana disebut di dalam teks Skanda Puranam, adalah satu perlambangan kebijaksanaan untuk menghapuskan kejahatan. Justeru Thaipusam diraikan sebagai tanda penghormatan masyarakat Hindu kepada Dewa Murugan melalui pembersihan jiwa dan memohon pengampunan atas dosa-dosa lampau.
 
Aspek yang ditekankan dalam perayaan ini adalah menentang kebatilan. Maka perayaan ini disambut dengan kesadaran menentang keangkuhan kuasa, rasuah dan penindasan melalui penghayatan jatidiri mereka. Dalam konteks Malaysia amnya, sewajarnya ini mendorong persefahaman tatkala kita meraikan jamak budaya dan kepelbagaian yang menjadi identiti Malaysia sekian lamanya.
 
Semoga perayaan ini memperkukuhkan tekad untuk membangun Malaysia sebagai sebuah negara yang adil serta terus megah berdiri sebagai sebuah negara yang meraikan kepelbagaian dan menghormati perbezaan. Selamat menyambut Hari Thaipusam buat seluruh masyarakat Hindu Malaysia. 
 
ANWAR IBRAHIM


EmoticonEmoticon