AMK kecam keras penangkapan aktivis #KitaLawan dan keganasan Polis

ANGKATAN Muda Keadilan mengecam sekeras-kerasnya penahanan dua ADUN Keadilan dan aktivis #KitaLawan; Tan Kar Hing (ADUN Simpang Pulai), Chang Lih Kang (ADUN Teja), Michael Tamil AL, Gan Zhi Mou, Chee Chu Sang dan Yong Ming Chong. Penahanan ini adalah satu tindakan zalim yang melanggar prinsip hak asasi dan jaminan kebebasan berhimpun seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara. Penahanan ini juga tidak perlu memandangkan para aktivis ini berhimpun dengan aman dan tidak menganggu keselamatan pihak lain.

Angkatan Muda Keadilan juga mengecam sekeras-kerasnya perilaku Polis Di Raja Malaysia yang telah bertindak ganas dan tidak profesional ketika menahan aktivis #KitaLawan. Tindakan polis yang gasar ini adalah sesuatu yang memalukan dan mencemar integriti polis dan merosakkan imej negara di mata dunia. 

Tindakan Ketua Polis Negara yang cuba menipu dan berselindung dari hakikat bahawa pihak polis telah bertindak melampaui batas dan gasar adalah sesuatu yang memalukan. Selaku Ketua Polis, beliau seharusnya menunjukkan sikap yang profesional dan melindungi kepentingan rakyat. Kegagalan Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk mengambil sikap yang profesional dan beretika, menguatkan lagi tekad kami bahawa beliau tidak layak untuk terus memegang jawatan sebagai Ketua Polis Negara. Angkatan Muda Keadilan dengan ini mendesak beliau untuk meletakkan jawatan sebagai Ketua Polis Negara. 

Angkatan Muda Keadilan juga menyeru anak muda dan seluruh rakyat, untuk bangkit menuntut keadilan, kebebasan dan reformasi yang menyeluruh di negara ini. Seluruh rakyat diajak untuk menyertai himpunan #KitaLawan, Sabtu, 28 Mac 2015 di hadapan Sogo. Masanya telah tiba untuk kita bangkit dan selamatkan negara ini daripada terus dihancurkan oleh UMNO-Barisan Nasional dan aparat-aparatnya.

DR AFIF BAHARDIN
Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia 
27 Mac 2015

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan