Tuesday

Atasi ancaman keganasan, jangan gadai prinsip Keadilan dan hak kemanusiaan — KEADILAN


KEADILAN mengecam rancangan kerajaan untuk memperkenalkan akta baru anti-terrorisme dalam sidang Parlimen bulan Mac ini seperti yang dilaporkan dalam portal Malaysian Insider hari ini.

Kecaman ini dibuat berdasarkan pelanggaran yang boleh berlaku terhadap prinsip keadilan dan kebebasan asas hak asasi manusia seperti mana Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan.

Ini terutamanya apabila sesebuah akta baru itu memiliki ciri-ciri seperti penahanan tanpa bicara, ruang tafsiran yang terlalu kabur dan penguatkuasaan yang tiada unsur semak dan imbang.

Ini juga bercanggah dengan saranan Perdana Menteri untuk menegakkan maqasid syariah yang jelas tidak akan menggadaikan prinsip keadilan dan kemanusiaan dalam memelihara maruah insan.

Menurut sumber yang dipetik Malaysian Insider, akta baru berkenaan akan mempunyai peruntukan yang membenarkan penahanan tanpa bicara dan penggunaan peranti pengawasan elektronik selain memiliki ciri-ciri yang hampir serupa dengan Akta Pencegahan Jenayah (POCA 1959), (Pindaan dan Pemerluasan) 2014 yang membenarkan suspek jenayah ditahan tanpa bicara sehingga dua tahun.

Harus diingat walaupun POCA dikatakan hanya untuk dikenakan ke atas penjenayah tetapi ia telah dipinda untuk mengetatkannya lagi dengan memasukkan mukadimah yang sama seperti ISA dan meluaskan penguatkuasaannya ke seluruh negara.

Pada masa yang sama, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang telah diperkenalkan untuk menggantikan ISA turut ada peruntukan bagi langkah-langkah khas yang berhubung dengan kesalahan keselamatan termasuk keganasan terancang. Akta berkenaan juga ada peruntukan penggunaan peranti pengawasan elektronik.

Malah undang-undang sedia ada yang lain juga telah memasukkan "kesalahan berkaitan keganasan" dalam peruntukannya seperti Penal Code (Amendment) Act 2003, Criminal Procedure Code (Amendment) Act 2006 selain Anti-Money Laundering and Anti-Terrorism Financing Act 2001 (Act 613) yang turut meliputi kesalahan pembiayaan keganasan.

Oleh itu, persoalannya, mengapakah ada keperluan untuk memperkenalkan satu lagi akta baru berhubung keganasan? Tidakkah akta yang begitu banyak berkaitan keganasan (yang juga ada masalahnya yang tersendiri) tidak memadai?

Atau jawapan sebenar kepada kaedah menangani keganasan ialah dengan memastikan kecekapan pihak Polis dan kerja-kerja perisikan dalam menjalankan siasatan dan dakwaan di samping mewujudkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) yang telah dicadangkan sejak 2005?

Pihak Kerajaan perlu menjelaskan perkara ini tanpa ragu-ragu dan tidak mengulangi kesilapan yang dibuat ketika pelaksanaan ISA secara zalim.

Pihak Kerajaan wajib memberikan penjelasan dan mendapatkan pandangan daripada NGO, Majlis Peguam dan pihak yang berkepentingan sebelum akta baru dibentangkan di Parlimen.

KEADILAN memandang berat ancaman keganasan ke atas keamanan dan keselamatan negara malah menyokong penuh usaha-usaha untuk menangani keganasan sama ada oleh kerajaan atau badan-badan bukan kerajaan.

Atas sebab itulah, KEADILAN percaya semua pihak sama ada kerajaan, parti-parti politik, badan peguam, agensi keselamatan dan NGO boleh bekerjasama dalam mengemukakan penyelesaian kepada usaha menangani keganasan.

Bagi KEADILAN, apa juga dasar, undang-undang dan tindakan, wajib mengambilkira prinsip keadilan, hak asasi manusia dan kemanusiaan yang menjadi tonggak kepada maqasid syariah.

Satu perseimbangan perlu dicari antara keselamatan awam dan kebebasan rakyat serta selaras dengan kedaulatan undang-undang seperti mana yang dilaksanakan di Indonesia yang mendakwa suspek keganasan di mahkamah secara telus, bukan melalui undang-undang pencegahan rahsia yang boleh membuka ruang salahguna.
 
SYED IBRAHIM SYED NOH
KETUA PENERANGAN PARTI KEADILAN RAKYAT (KEADILAN)

1 comments so far

korang x setuju rancangan kerajaan untuk kenalkan akta anti-terrorisme.. kenapa??? sbb korang takut dh x leh buat huru hara lagi ke..?


EmoticonEmoticon