Thursday

Polis tiada kuasa untuk istiharkan perhimpunan #KitaLawan sebagai haram



SAYA merujuk kepada laporan berita bahawa Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah telah mengisytiharkan perhimpunan #KitaLawan pada 7 Mac 2015 ini sebagai perhimpunan haram, dengan alasan bahawa penganjur kononnya tidak ada memberikan notis di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 ('APA 2012').

Pihak polis tidak boleh seakan-akan tidak sedar atau ingat akan kes landmark Nik Nazmi lwn Pendakwa Raya yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada 25 April 2014, yang telah memutuskan bahawa peruntukan seksyen 9(5) APA 2012, yang menyatakan bahawa seseorang penganjur perhimpunan aman jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000.00 sekiranya tidak memberi notifikasi 10 hari sebelum perhimpunan, bukan lagi undang-undang yang boleh dikuatkuasa kerana telah diisytiharkan sebagai tidak berperlembagaan dan oleh itu tidak sah dan batal. Mahkamah Rayuan juga telah memutuskan bahawa suatu perhimpunan aman tidak boleh dijenayahkan melalui undang-undang.

Tambahan itu, APA 2012 langsung tidak memberi kuasa kepada pihak polis untuk mengisytiharkan mana-mana perhimpunan sebagai haram dan oleh itu sebarang percubaan untuk menyekat perhimpunan aman #KitaLawan adalah di luar batasan kuasa polis. Pihak polis tidak wajar mengelirukan orang ramai berkenaan perkara ini.

Saya juga mengingatkan pihak polis bahawa mereka mempunyai tanggungjawab untuk membantu perjalanan perhimpunan #KitaLawan, bukan menyekat perhimpunan aman tersebut.

Akhir sekali, saya menyeru kepada orang ramai untuk menyertai #KitaLawan dan mengamalkan hak berhimpun secara aman yang sememangnya telah termaktub dan dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

MELISSA SASIDARAN
Ketua Biro Pendidikan Politik
Angkatan Muda KEADILAN


EmoticonEmoticon