Thursday

KEADILAN tidak menolak syariat Allah (Hudud) — Tuan Ibrahim Tuan Man


PIMPINAN parti di semua peringkat diminta tidak mengeluarkan kenyataan kontroversi samada melibatkan hubungan dengan Pakatan Rakyat atau melibatkan hukum.

PAS mempunyai organisasi lengkap bagi membuat keputusan melibatkan dasar dan perjalanan parti. Kenyataan kontroversi ini hanya akan menguntungkan musuh dan ia hanya menambahkan derita rakyat dalam situasi yang ada kini.

Isu hubungan dan kerjasama dalam Pakatan Rakyat, sekali lagi ditegaskan kita masih bersama dengan PR dan ini telah ditegaskan oleh Tuan Guru Presiden berulang kali.

Musuh cuba memecah-belah PR sejak hari pertama kita wujudkan sehingga kini. Pendirian parti mesti didokongi oleh ahli sehinggalah ada keputusan baru. Sehingga kini, kita tegaskan PAS adalah sebahagian dari komponen PR.

Isu sokongan kepada Enakmen Kanun Jenayah Shariah Kelantan sebagaimana yang disebut oleh Presiden PAS, PAS akan membawanya ke Parlimen dan kita menyeru agar Ahli Parlimen Muslim menyokongnya. Akan tetapi, kita tidak boleh memaksa mereka untuk menyokongnya.

PAS menerima penjelasan dari PKR berhubung EKJS Kelantan dan memahami pendirian mereka yang tidak menolak syariat Allah yang menjadi kewajipan bagi umat Islam. Perbezaannya ialah soal pendekatan dalam membawa usul dan pelaksanaannya. Maka perbezaan ini akan membuka dialog dan perbincangan ilmiah secara berterusan pada masa kini dan akan datang.

Isu kontroversi yang melibatkan hukum mesti dirujuk kepada pendirian rasmi Majlis Syura Ulamak dan Pendirian Rasmi Dewan Ulamak kerana ia mempunyai implikasi besar. Ia boleh mendedahkan mudarat yang lebih besar kepada rakyat sekiranya Umno-BN terus berkuasa.

Maka sebagai Ahli Majlis Syura, saya menyeru agar semua ahli PAS yang berdaftar sebagai pengundi di Permatang Pauh untuk keluar mengundi dan memberi undi kepada calon dari PKR. Kerana keputusan memberi kerjasama dalam PRK Permatang Pauh adalah keputusan yang turut melibatkan hukum syarak.

Adapun beberapa isu yang melibatkan salah faham kerana berita yang diseleweng oleh media arus perdana sehingga menimbulkan salah tanggapan, ketegangan, Insha-Allah ia akan diselesaikan melalui perundingan dan pertemuan mahabbah antara para pimpinan dan petugas yang akan diadakan dari masa ke semasa.‎

Tuan Ibrahim Tuan Man
Naib Presiden merangkap Ahli Majlis Syura PAS
22 April 2015


EmoticonEmoticon