Zunar 'jemput' KPN ceburi industri komik

KARTUNIS politik Zunar mempelawa Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk menceburi industri komik kerana kenyataannya yang dianggap sebagai kelakar.

Katanya, sebelum ini Khalid mengeluarkan kenyataan bahawa penangkapan beliau kerana keinginannya sendiri untuk ditangkap pihak polis.

"Saya ingin menjemput dia (Khalid) untuk menyertai industri komik memandangkan ada permintaan besar untuk jawatan tukang cerita dongeng. Saya yakin dengan bakat yang dia ada, dia pasti cemerlang.

"Saya masih ingat, pada tahun 1998, Mahathir kata Anwar pukul diri sendiri, beberapa tahun lepas, peguam kerajaan kata Teoh Beng Hock cekik diri sendiri hingga mati.

"Sekarang KPN kata saya minta diri sendiri ditangkap. Saya sangat terhibur dengan kenyataannya dan Khalid memang seorang yang kelakar," katanya sinis dalam satu kenyataan hari ini

Zunar sebelum ini ditangkap atas sembilan pertuduhan di bawah Akta Hasutan yang disifatkan beliau taktik untuk menghentikannya daripada terus mengkritik kerajaan.

Kerajaan menukar disaat akhir pertuduhan asal dari satu kepada sembilan pertuduhan, yang menyebabkan sejumlah RM45,000 diperlukan untuk ikat jamin, sebelum dikurang kepada RM22,500 oleh mahkamah.

Dalam pada itu, Zunar mendesak Khalid menggandakan usaha membanteras rasuah dan jenayah di negara ini, bukannya mengarahkan pegawai-pegawai bawahannya memantau media sosial.

"Punca masalah di Malaysia ialah BN (Barisan Nasional) yang memerintah Malaysia selama lebih 58 tahun telah menjerumuskan negara ke dalam longkang. Khalid sepatutnya mengggandakan usaha menentang rasuah, korupsi dan jenayah.

"Dalam Islam, melawan rejim rasuah dan zalim adalah satu jihad. Saidina Ali meletakkan keutamaan ini dengan berkata, "Patriotik adalah berkata benar di hadapan pemerintah zalim."

"Sebagai kartunis, saya lakukan dengan cara saya. Bakat bukan keistimewaan, tetapi adalah tanggungjawab.

"Saya akan gunakan bakat untuk membawa suara rakyat melalui karya seni untuk reformasi. Saya tidak akan berdiam diri. Bagaimana mungkin saya bersikap neutral, padahal pen saya juga ada stand," ujarnya — Keadilandaily





Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan