Saturday

Kesihatan Anwar Ibrahim semakin membimbangkan!



TELAH 110 hari Dato' Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan atas fitnah jahat yang dilontarkan ke atas beliau. Amnesty International telah mengisytiharkan bahawa beliau merupakan seorang tahanan politik sejak 17 Februari 2015, iaitu kira-kira 7 hari selepas beliau didapati bersalah dalam sebuah fitnah yang didalangi oleh musuh-musuh politik beliau.
 
Walaupun semangat juang beliau tidak pernah luntur, selama beberapa lama beliau di dalam penjara, dapat diperhatikan penurunan berat badan beliau secara mendadak. Kebimbangan kami meningkat apabila diberitahu yang keadaan kesihatan beliau semakin menurun dalam masa beberapa bulan yang lepas.‎
 
Semenjak beliau dipenjarakan, kami diberitahu beliau kehilangan berat badan kira-kira 6 kg yang sungguh membimbangkan sekiranya ini berterusan. Terdapat juga simptom kesan darah dalam sampel najis beliau, yang memerlukan pemeriksaan perubatan secara lebih dekat. Beliau juga direkodkan mempunyai tekanan darah yang tidak menentu, dan bacaannya setinggi 163/108 walaupun beliau sedang menjalani rawatan ubatan.
 
Beliau juga mempunyai kecederaan yang teruk di bahu kanan  beliau (dalam sebuah kejadian setahun lepas), yang masih meletakkan beliau dalam keadaan kesakitan. Kecederaan ini memerlukan pemeriksaan MRI, rawatan dan berkemungkinan pembedahan untuk pulih sepenuhnya.
 
Kami mendapat maklumat bahawa Dato' Seri Anwar telah berulang kali membuat permintaan untuk rawatan perubatan dan kemasukan ke dalam hospital. Amat dikesali sekali atas kelewatan kerajaan dalam memenuhi permintaan ini. Sehinggakan permintaan mudah untuk menjalani pemeriksaan MRI ke atas bahu beliau juga tidak di endahkan untuk beberapa minggu.
 
Kami dimaklumkan juga bahawa Dato' Seri Anwar telah dilawati oleh doktor-doktor yang dihantar oleh Kementerian Kesihatan yang sedang memerhatikan keadaan beliau.
 
Bagaimanapun, kami dimaklumkan oleh peguam Dato' Seri Anwar yang telah menemui beliau untuk tempoh dua hari yang lepas, yang beliau akan dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur pada hari Selasa, 2 Jun 2015, untuk pemeriksaan, permerhatian dan rawatan perubatan.
 
KEADILAN dan keluarga Dato' Seri Anwar sangat mengesali kelewatan bertindak oleh kerajaan untuk memberikan rawatan perubatan kepada Dato' Seri Anwar. Kami menuntut agar beliau diberikan penjagaan kesihatan secara menyeluruh yang diperlukan oleh beliau. Menteri Dalam Negeri, Datuk Zahid Hamidi mestilah memberikan jaminan bahawa Dato' Seri Anwar dibenarkan berada di hospital selama mana yang diperlukan untuk penilaian kesihatan beliau dilakukan dan rawatan yang diperlukan diberikan sehingga keadaan beliau pulih.
 
Kegagalan kerajaan untuk memenuhi tuntutan ini merupakan sebuah pencabulan hak asasi Dato' Seri Anwar untuk mendapatkan rawatan perubatan yang adil dan saksama.
 
KEADILAN akan terus mendapatkan maklumat terkini berkenaan kesihatan beliau daripada keluarga Dato' Seri Anwar dan juga barisan peguam beliau yang mesti diberikan akses sepenuhnya kepada beliau sepanjang tempoh beliau berada di hospital.
 
Dato' Johari Abdul
Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN
Ahli Parlimen Sungai Petani
Ketua Whip KEADILAN
 
Nurul Nuha Anwar
March2Freedom


EmoticonEmoticon