KEADILAN gesa adakan konferens pakar antarabangsa atasi virus Denggi yang mungkin sudah bermutasi

SAYA mengikuti perkembangan laporan Kementerian Kesihatan mengenai epidemik denggi yang semakin teruk hari ini.

Memang benar masalah denggi ini amat merisaukan dan kita mungkin berhadapan satu bentuk demam denggi yang lebih berbahaya, lebih ramai yang dijangkiti dan lebih berupaya membawa maut berbanding dahulu. Ada kemungkinan virus tersebut telah mengalami mutasi.

Oleh itu, saya percaya kebanyakan daripada langkah-langkah pencegahan dan rawatan lama mungkin tidak lagi efektif.

Saya menggesa Kementerian Kesihatan untuk memanggil satu perjumpaan atau konferens antarabangsa pakar-pakar wabak denggi dari seluruh dunia, meliputi bidang kepakaran berkaitan pencegahan dan rawatan denggi, termasuk epidemiologist, virologist, entomologist, internist, pakar rawatan kritikal, immunologist dan banyak lagi.

Konferens ini patut menyemak semula segala yang kita fahami dan ketahui dan kesemua langkah-langkah yang telah diambil untuk mengatasi wabak denggi ini. Matlamatnya adalah untuk mencari jalan terbaik untuk pencegahan dan rawatan.

Kerajaan kemudiannya boleh memilih cadangan-cadangan terbaik untuk langkah berikut demi membasmi wabak dan mengatasi tragedi ini yang telah membawa kesengsaraan dan kematian kepada ramai rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi kerana denggi ini satu penyakit yang sepatutnya boleh dicegah.

Kesemua perbincangan ini serta penetapan langkah dan rawatan-rawatan baharu perlu dilakukan pada kadar segera untuk mencegah wabak ini dari terus membawa sengsara kepada rakyat Malaysia.

YB Dr Azman Ismail
Ahli Parlimen Kuala Kedah
Pengerusi Biro Sains & Kesihatan KEADILAN

26 Jun 2015

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan