PERUTUSAN Aidilfitri 1436H/2015

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahilhamd.

Marilah sama-sama kita panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT di atas kesempatan yang diberikan kepada kita untuk merayakan Aidilfitri bagi tahun 1436 Hijrah.

Menjelangnya Syawal yang dirai sebagai bulan kemenangan, dilapisi dengan lafaz takbir dan tahmid. Namun ia tidak terhenti di situ semata-mata, apatah lagi dengan sambutan yang meraih di sana sini. Penting bagi umat Islam untuk mengekalkan segala betuk kebaikan dan kebajikan seperti ibadah solat, bertasbih dan bersedekah agar segala usaha sepanjang madrasah Ramadan ini terus memberikan kesan yang baik pada diri dan diberkati Allah SWT.

KEADILAN terus komited ke arah memupuk muafakat berteras semangat Malaysia yang sebenar: bersendikan prinsip adil, demokratik dan toleran. Di sinilah hadirnya keperluan untuk kita kembali memaknai prinsip Hablumninallah dan Habluminannas, dengan kembali kepada fitrah insani di sebalik kegembiraan perayaan.  Di samping kita menghormati perbezaan, penderitaan umat Islam seluruh dunia yang berhadapan dengan penindasan dan ketidakadilan harus juga kita insafi bersama-sama, di saat kita mampu mengukir senyum dan tawa di hari lebaran.

Malaysia berhadapan dengan krisis kepimpinan yang kritikal mutakhir ini. Tekad rakyat harus dibulatkan untuk memperkemaskan usaha memerangi rasuah, penyalahgunaan kuasa, ketidakadilan, tatakelola yang bermasalah dan sikap pilih kasih keterlaluan yang melangkaui batas agama dan perundangan.

Marilah kita memaknai makna Islam yang hanif, dengan menyantuni kebenaran, keadilan dan kedamaian di kalangan sesama ummah. Praktikkan amalan bersedekah, kerana ianya bukan hanya baik untuk kita, malah membantu meringankan beban mereka yang memerlukan.

Salam Aidilfitri buat seluruh umat Islam Malaysia daripada kepimpinan dan akar umbi KEADILAN dengan ucapan maaf dzahir dan batin. 

Allahuakbar. Allahuakbar. Allahuakbar. Walillahilhamd.

DATO' SERI ANWAR IBRAHIM

DATUK SERI DR. WAN AZIZAH WAN ISMAIL

1 Syawal 1436H

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan