Wajib baca! Pengajaran Referendum 'Brexit' untuk Pakatan Harapan

PENGAJARAN terbesar yang Pakatan Harapan (HARAPAN) boleh ambil untuk PRU akan datang daripada BREXIT referendum ialah, menangani ketakutan pengundi.

Boris Johnson dan Nick Farage sengaja menimbulkan perasaan takut kepada rakyat dengan alasan sekiranya mereka mengundi BREMAIN, bermakna lebih ramai imigran akan masuk dan merosakkan peluang rakyat British memperoleh kerja, kerana terpaksa bersaing dengan orang lain, hatta dimomokkan dengan kemasukan orang Islam beramai-ramai ke dalam negara UK.

Sedar-sedar tak sampai 24 jam, yang mengundi BREXIT sudah menjadi 'BREGRET'. Nasi sudah menjadi bubur. Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna.

Kempen BREMAIN hanyalah berkisar tentang ekonomi semata-mata, tetapi tiada 'counter back' ketakutan yang ditimbulkan oleh pro-BREXIT. Inilah satu kelemahan terbesar kempen pro-BREMAIN.

Mereka menganggap rakyat semuanya rasional walaupun masyarakat Britain rata-ratanya cerdik pandai, sedangkan yang tak cerdik itulah yang mengundi BREXIT atas ketakutan dan faktor EMOSI. Cerdik IQ tidak semestinya cerdik EQ.

Seperti itu jugalah HARAPAN (AMANAH, DAP dan PKR) perlu berganding bahu. Di samping mencelikkan masyarakat, perlu juga menangani kempen ketakutan yang ditimbulkan oleh BN/UMNO dan sekutunya yang mengatakan DAP akan menguasai negara, AMANAH 'khadam' DAP, Melayu akan terpinggir, Cina akan kuasai negara, Islam diganggu-gugat oleh 'kafir harbi' DAP, Anwar 'pendokong liberalisme' atau PKR parti 'liberal' dan bermacam-macam lagi pertuduhan.

Kalau rakyat Malaysia yang masuk universiti dapat pointer 4.0 pun boleh percaya semua propaganda ketakutan yang karut-marut ini, apatah lagi masyarakat di kampung dan ceruk-ceruk yang maklumat hanya diperolehi daripada TV3 dan RTM1.

HARAPAN juga perlu lebih memfokuskan kepada pengundi muda. Meyakinkan pengundi muda untuk mengundi HARAPAN dan mengatasi segala emosi ketakutan dalam diri mereka untuk berani berubah. Jangan biarkan pengundi muda menyesali seperti mana BREGRET berlaku. Cukup-cukuplah memberikan tongkat kepada BN dan UMNO. Mereka perlu diajar cara mentadbir negara dengan betul.

Dalam pada masa yang sama, pimpinan HARAPAN perlu memberi peluang generasi muda untuk menerajui parti demi masa depan HARAPAN. Kita perlu melahirkan lebih ramai pimpinan pemuda yang mempunyai wawasan untuk masa depan, bukan sekadar melakukan 'day to day operation' tanpa ada perancangan apa yang ingin dicapai untuk masa depan.

Pimpinan senior HARAPAN yang berpengalaman ini sewajarnya menjadi penasihat kepada golongan muda, dalam pada masa yang sama cuba untuk meyakinkan pengundi-pengundi saluran 1 untuk berubah demi masa depan anak watan.

Marilah kita sama-sama mengambil ibrah daripada referendum BREXIT. Kekuatan ketiga-tiga parti perlu disepadukan. Kita tidak akan kuat jika bersendirian.

DR MOHAMMAD TAZLI AZIZAN
Exco Pemuda AMANAH Nasional / Naib Ketua Pemuda AMANAH Perak

26 Jun 2016

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan