TV3 dan Utusan Malaysia mohon maaf kepada Anwar kerana memfitnah

SISTEM Televisyen (M) Bhd (TV3) akan memohon maaf kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam siaran Buletin Utama malam ini selepas kes pertikaian undang-undang antara mereka diselesaikan di mahkamah tinggi hari ini.

Permohonan maaf turut akan diterbitkan oleh Utusan Melayu (M) Bhd dalam akhbar harian berbahasa Melayu, Utusan Malaysia sebelum 2 November.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu memfailkan satu saman fitnah pada tahun 2015 melibatkan tuduhan beliau telah merasuah hakim dan pendakwaraya.



Anwar telah menamakan bekas calon Barisan Nasional Permatang Pauh, yang bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 Datuk Dr Mazlan Ismail, TV3 dan Utusan Malaysia sebagai defendan pertama, kedua, dan ketiga dalam samannya.

Dalam perbicaraan hari ini, peguam Anwar, Sangeet Kaur Deo memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya, TV3 dan Utusan Malaysia telah bersetuju untuk menyelesaikan saman berkenaan dengan cara baik iaitu menerusi permohonan maaf yang akan disiarkan dan diterbitkan oleh defendan.

Peguam Anwar turut memberitahu mahkamah bahawa di dalam persetujuan penyelesaian berkenaan, TV3 dan Utusan Malaysia bersetuju untuk menarik balik tuduhan fitnah terhadap anak guamnya.

Pesuruhjaya kehakiman Datuk Faizah Jamaludin kemudian merekodkan persetujuan kedua-dua pihak untuk menyelesaikan kes berkenaan.

Di luar mahkamah, Sangeet dilapor turut memberitahu bahawa pihak defendan telah bersetuju untuk membayar kos keseluruhan sebanyak RM130,000

"TV3 akan membacakan teks (mengandungi permohonan maaf) yang telah dipersetujui pada jam 8 malam ini."

"Utusan juga akan terbitkan teks yang sama sebelum 2 November," katanya.

Peguam Azhar Arman Ali mewakili Utusan Malaysia, manakala Lim Qi Shi wakili TV3.

Pada 28 September, Mazlan telah membuat permohonan maaf kepada Anwar melalui satu kenyataan maaf yang dibacakan di dalam mahkamah selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan kes berkenaan.

Anwar telah memfailkan satu saman fitnah pada 15 Oktober 2015, mendakwa ketiga-tiga defendan telah memfitnah beliau merasuah hakim dan pendakwaraya.

Menurut beliau Mazlan telah membuat satu sidang media yang mana perkataan fitnah yang dilemparkan olehnya telah disiarkan oleh TV3 dalam siaran 'Buletin Utama' pada jam 8 malam 2 Ogos 2013, dan akhbar Utusan Malaysia pada 3 Ogos 2013.

Kata Anwar tuduhan itu menggambarkan beliau seorang yang tidak beretika, tidak jujur, tidak bermoral dan penipu.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan