CIA percaya Putera Mahkota Saudi arahkan bunuh wartawan Jamal Khashoggi

AGENSI Risikan Pusat (CIA) percaya Putera Mahkota Arab Saudi, Muhammad bin Salman, telah memerintahkan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi di Istanbul.



Penemuan CIA dilaporkan oleh Washington Post, bercanggah dengan dakwaan kerajaan Arab Saudi, bahawa Putera Muhammad bin Salman tidak terlibat.

Kedua-dua White House dan Jabatan Negara Amerika Syarikat bagaimanapun enggan mengulas mengenai laporan berkenaan.

Kedutaan Arab Saudi di Washington pula dilapor menolak penilaian CIA itu.

Menurut laporan Washington Post, penilaian CIA berhubung perkara itu berdasarkan dua perbualan telefon iaitu panggilan telefon yang dibuat dari kedutaan Arab Saudi di Istanbul, selepas pembunuhan Khashoggi, dan perbualan telefon antara adik Putera Mahkota, iaitu Putera Khalid Bin Salman.

Khashoggi penulis yang lantang mengkritik kerajaan Arab Saudi merangkap seorang kolumnis di Washington Post, mati dibunuh di kedutaan Arab Saudi di Istanbul, Turki pada 2 Oktober 2018.

Pada ketika itu Khashoggi dilaporkan datang ke kedutaan untuk mengambil beberapa dokumen yang diperlukan bagi mengahwini seorang wanita Turki seperti yang telah dirancangkan.

Khashoggi dilaporkan menolak tekanan dari Riyadh supaya pulang ke Arab Saudi.

Satu pasukan seramai 15 orang telah dihantar untuk bertemu Khashoggy di kedutaan dan beliau terbunuh secara tidak sengaja akibat dicekik oleh lelaki yang cuba memaksanya kembali ke Arab Saudi.

Penyiasat Turki berkata pembunuhan itu memang disengajakan, dan pihaknya memberi tekanan kepada Arab Saudi untuk mengekstradisi penjenayah yang bertanggungjawab untuk dibicarakan.

Seorang penasihat Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan pada hari Khamis menuduh Arab Saudi cuba menutup kes pembunuhan itu.

Pendakwa raya Arab Saudi pada hari Khamis berkata, pihaknya mahu hukuman mati dikenakan terhadap lima suspek yang dituduh di mahkamah berkaitan kes pembunuhan itu.

Pendakwaraya berkenaan, Shalaan al-Shalaan memberitahu wartawan bahawa Putera Mahkota tidak tahu apa-apa tentang operasi tersebut di mana jasad Khashoggi telah ditemui dan dikeluarkan dari kedutaan.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan