Polis panggil Waytha Moorthy untuk siasat video burukkan Malaysia

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy akan dipanggil untuk soal siasat berhubung sebuah rakaman video klip mengenai dirinya yang dikatakan telah memburukkan nama Malaysia di luar negara.

Timbalan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata ini bagi membolehkan pihak polis mengumpul lebih banyak maklumat berkaitan video terbabit.



"Kita akan panggil beliau untuk rakam percakapan. Kita sedang menunggu masa yang sesuai. Mungkin dalam masa terdekat."

"Kita nak tahu lebih lanjut kandungan di dalam video klip itu," katanya lapor Malay Mail.

KPN sebelum itu berucap dalam satu sidang media selepas menyaksikan penyerahan tugas melibatkan Pengarah Jabatan Pengurusan Polis Persekutuan, Datuk Seri Asri Yusof dan Datuk Abdul Jalil Hassan, yang merupakan timbalan pengarah sumber manusia, di pusat latihan polis pada hari Khamis.

Pada 16 November sebuah video klip memaparkan Waytha Moorthy, yang juga merupakan pengerusi Hindraf mula tersebar di atas talian.

Video berdurasi 2 minit 39 saat itu menunjukkan Waytha sedang ditemubual di luar negara dan membuat tuduhan merendah-rendahkan Malaysia berhubung pencabulan hak asasi manusia melibatkan masyarakat India.

Sejak dari itu video berkenaan menarik perhatian ramai dan menimbulkan kemarahan pelbagai kumpulan, segelintir mereka menggesa menteri itu untuk meletak jawatan.

Sebuah petisyen atas talian di laman sesawang change.org meminta beliau meletak jawatan setakat ini telah menerima tandatangan lebih 150 ribu orang.

Waytha Moorthy dilapor mempertahankan tindakannya, dengan mengatakan bahawa kenyataan-kenyataan dibuatnya merujuk kepada pentadbiran kerajaan terdahulu.

Dalam masa yang sama berhubung perkara lain, Noor Rashid berkata Polis juga akan memanggil Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Datuk Azwanddin Hamzah untuk merakam percakapannya.

"Dia (Azwanddin) akan dipanggil berhubung satu artikel dalam blognya, yang mengandungi tuduhan-tuduhan berhubung keselamatan negara dan berita palsu,"

"Kami mahu dia beri penjelasan berhubung perkara itu dan dari mana dia dapat maklumat. Kami melihat tuduhan itu serius melibatkan Menteri Pertahanan," katanya.

Post a Comment

0 Comments