City One Megamall Kuching meletup, 3 maut

SATU letupan dilapor menggegarkan pusat membeli-belah CityOne Megamall Kuching tengah hari tadi mengakibatkan tiga orang terbunuh.

Pengarah bomba negeri, Khirudin Drahman mengesahkan bahawa tiga lelaki yang terkorban, dua daripadanya berasal dari Sarawak manakala seorang lagi dari Pulau Pinang.

Katanya, dua mangsa yang terkorban merupakan pekerja di premis makanan Nene Chicken, di CityOne Megamall.



Premis itu katanya sedang dalam proses ubah suai sebelum dijadualkan untuk pembukaan esok.

Kata Khiruddin lagi, empat individu mengalami cedera parah akibat letupan.

"Kesemua mangsa berjumlah 29 orang, empat cedera parah manakala tiga lagi maut. Mangsa-mangsa lain mengalami cedera ringan," kata beliau kepada wartawan lapor The Star.

Punca letupan sehingga kini masih disiasat. Dalam kejadian pukul tiga setengah petang itu, saksi memberitahu letupan telah mengakibatkan siling di salah satu bahagian bangunan runtuh.

Seorang pekerja kedai yang dikenali sebagai Niedazie berkata, dia ada mendengar bunyi letupan kuat sekitar jam 3 petang.

"Ianya sangat kuat. Pada mulanya saya fikir kerana cuaca tapi bunyinya begitu kuat. Kemudian saya rasa gegaran dan kami diarah untuk meninggalkan bangunan," katanya.

Salah seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Benny, berkata dia sedang memasang perkakas minuman ketika kejadian berlaku.

"Dinding tumbang dan menimpa saya. Semua orang dalam keadaan panik," tambahnya lagi, pada waktu itu sekitar 20 orang berada di ruang berkenaan.

Post a Comment

0 Comments