Kanser kini boleh dikesan dalam masa 10 minit

PARA penyelidik dari Australia dilaporkan telah mencipta satu ujian selama 10 minit yang boleh mengesan kehadiran sel-sel kanser walau di mana ia berada dalam badan manusia.

Ujian itu dicipta selepas para penyelidik dari University of Queensland mendapati bahawa kanser akan membentuk satu struktur DNA yang unik apabila diletakkan di dalam air.

Ujian itu menggunakan cara mengenal pasti kehadiran struktur berkenaan, sekaligus menjadikan ia satu penemuan besar di dalam membantu mengesan kanser pada manusia jauh lebih awal berbanding kaedah sedia ada.

Ujian mengesan kanser dalam masa 10 minit

"Penemuan molekul DNA kanser yang terbentuk mempunyai struktur nano 3D yang sangat berbeza dari DNA normal, ia suatu kejayaan bagi membolehkan pendekatan baru dibuat bagi mengesan kanser yang tidak bersifat 'invasive' di dalam sebarang jenis tisu termasuk darah," kata Profesor Matt Trau dalam satu kenyataan. — uq.edu.au

"Ini membawa kepada penciptaan alat pengesan mudah alih yang tidak mahal, dan akhirnya nanti boleh digunakan sebagai perkakas diagnostik, mungkin juga menggunakan telefon pintar," tambahnya.

Para penyelidik seluruh dunia berusaha mencari jalan untuk mengesan kanser lebih awal, kerana pengesanan awal diketahui akan meningkatkan kadar keberkesanan rawatan dan pembedahan.

Ujian 10 minit kanser yang dicipta di Australia ini akan digunakan ke atas manusia dan melalui ujian-ujian klinikal yang diperlukan sebelum ia boleh digunakan ke atas pesakit.

Setakat ini hasilnya dikatakan positif.

Ujian-ujian yang dijalankan ke atas sejumlah 200 tisu dan sampel darah berjaya mengesan sel-sel kanser dengan ketepatan sehingga 90 peratus kata penyelidiknya.

Setakat ini ujian itu hanya digunakan untuk mengesan kanser payudara, prostat, usus, dan limfoma, namun mereka yakin kaedah itu boleh digunakan untuk kanser jenis lain.

Para penyelidik sudah lama mencari persamaan di antara pelbagai jenis kanser untuk mencipta kaedah dinostik yang boleh digunakan terhadap semua jenis kanser kata Trau dan rakan-rakan penyelidiknya Abu Sina dan Laura Carrascosa — theconversation.com

Kanser mengubah DNA sel-sel yang sihat, terutama di dalam penyebaran molekul-molekul yang dikenali sebagai kumpulan methyl, dan ujian ini mengesan corak perubahan apabila diletakkan di dalam larutan seperti air.

"Dengan menggunakan mikroskop resolusi tinggi, kami dapat lihat cebisan DNA kanser berlipat kepada struktur tiga dimensi di dalam air. Ini berbeza jika kita lihat apa yang berlaku terhadap tisu normal di dalam air," jelas artikel itu.

Ujian tersebut menggunakan zarah emas, yang akan melekat pada DNA yang dijangkiti kanser dan "boleh memberi kesan terhadap kelakuan molekul seterusnya memberikan perubahan warna yang dapat dilihat," tambahnya.

Langkah selanjutnya bagi pasukan ini ialah untuk menjalankan kajian klinikal, bagi melihat seawal manakah sel kanser boleh dikesan, dan sama ada ujian itu boleh digunakan untuk menentukan rawatan yang patut diambil oleh pesakit.

Mereka juga kini sedang melihat kebarangkalian menggunakan cecair daripada badan manusia untuk mengesan jenis-jenis kanser berbeza dari awal sehingga tahap kanser seterusnya.

Awal tahun ini para penyelidik dari John Hopkins University di Amerika Syarikat mengumumkan bahawa mereka telah mencipta sejenis ujian darah yang dipanggil CancerSEEK, yang boleh mengesan lapan jenis kanser. — cnn.com

Ujian itu menggunakan kaedah mengesan kehadiran protein kanser dan mutasi gen dalam sampel darah.

Namun lebih banyak penyelidikan perlu dijalankan sebelum ujian itu boleh digunakan secara meluas kata penyelidik yang terlibat.

Post a Comment

0 Comments