Pak imam miliki dadah dipenjara 8 tahun

Berita yang dipetik dari akhbar Sinar Harian Online, seorang imam dihukum penjara 8 tahun di atas kesalahan memiliki dadah.

Seorang lelaki warga emas yang dikenali sebagai imam di Kampung Keda Kemangi, Kupang, Baling, dekat sin:i, dijatuhi hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar, di sini, semalam, atas dua kesalahan memiliki kanabis, dua tahun lalu.

Dalam pertuduhan pertama, Mohamad Ishak, 61, dituduh di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, sebelum ditawarkan pertuduhan pilihan 39A (2) akta sama.

Mohamad dituduh melakukan kesalahan itu pada 18 Mei 2008, kira-kira jam 9.45 malam, di belakang kedai makan di Kampung Bok Bak, Kupang.

Dia didakwa memiliki kanabis seberat 360.5 gram dan didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta yang sama.

Satu lagi pertuduhan yang dihadapinya adalah kesalahan di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (1) akta sama kerana memiliki dadah berbahaya iaitu kanabis seberat 33.2 gram pada tarikh, masa dan lokasi yang sama.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Zaki Abdul Wahab dalam penghakimannya berkata, setelah mempertimbangkan hujah daripada pihak pendakwaan dan pembelaan, beliau menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun bermula dari tarikh tangkapan bagi pertuduhan pilihan.

“Manakala bagi pertuduhan kedua, penjara tiga tahun bermula dari tarikh tangkapan dan kedua-dua hukuman dijalankan serentak,” katanya.

Mohamad, seorang pesara tentera yang kini menjadi peniaga pasar malam diwakili peguam, Ali Munawar Razak manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zakhi Mohd Daud.

Dalam operasi yang dijalankan pada 18 Mei 2008, polis menemui satu bungkusan plastik hitam yang sedang dipegang Mohamad, mengandungi satu ketulan kanabis dengan sebahagian daripadanya dibalut dengan satu lapisan kertas timah dan dibungkus dalam satu paket plastik.

Turut ditemui di dalam plastik hitam itu, satu lagi ketulan kanabis yang sebahagiannya dibalut dengan satu lapisan kertas timah, menjadikan keseluruhan kanabis yang ditemui itu seberat 360.50 gram.

Hasil pemeriksaan, polis menemui 14 paket kecil, keseluruhannya seberat 33.2 gram, di dalam beg warna merah yang sedang disandang Mohamad.


ReJaM©

1 Comments

  1. lebih berat dari hukuman bakar 4 mayat orang islam

    ReplyDelete

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan