Kamera saman ekor diluluskan di dewan rakyat


KUALA LUMPUR, 16 Dis — Dewan Rakyat malam tadi meluluskan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010, yang antara lain akan membolehkan pendaftaran kereta elektrik, pelaksanaan sistem penguatkuasaan automatik (AES) bagi membanteras pemanduan berbahaya, dan penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Darat (Span).

Bagaimanapun, rang undang-undang itu terpaksa melalui proses undi belah bahagian pada bacaan kedua yang menyaksikan 70 menyokong, manakala 40 lagi menentang.

Ini kerana majoriti anggota Parlimen, terutama pembangkang mendesak supaya rang undang-undang itu ditarik balik kerana tidak berpuas hati dengan penjelasan mengenai pelaksanaan AES.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu, bagaimanapun menegaskan bahawa pelaksanaan sistem AES tidak melibatkan sebarang peruntukan kewangan kerajaan.

Menjawab desakan beberapa anggota Parlimen mengenai simulasi pulangan hasil daripada pelaksanaan AES pula, beliau berkata bagi setiap enam juta saman yang dikeluarkan, dua syarikat yang mengendalikan sistem itu akan berkongsi 34.3 peratus daripada hasil, manakala selebihnya iaitu 65.7 peratus akan diperoleh kerajaan.

Isu itu dibangkitkan Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) ketika sesi perbahasan yang menggesa timbalan menteri berkenaan mendedahkan hasil bakal diperoleh syarikat pelaksana sistem AES.

Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) turut membangkitkan persoalan yang serupa kerana menyifatkan perkara itu penting diketahui rakyat.

“Apa yang Wangsa Maju (Wee) kata itu saya juga mahu tanya... rakyat bayar, potongan yang diberi kepada syarikat ini, rakyat yang diperas, syarikat ini esok makan darah rakyat, dia kembung perut tetapi rakyat menderita,” katanya.

Asakan Wee dan Mohamad itu menyebabkan Abdul Rahim agak beremosi dan menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam mana-mana syarikat pengendali AES.

“Saya tidak ada kepentingan dalam syarikat-syarikat ini... kepentingan saya ialah kepentingan negara dan rakyat,” katanya.

Abdul Rahim turut menjelaskan bahawa AES hanya akan ditempatkan di lokasi hitam yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan.

Beliau berkata kewujudan AES akan melindungi pemandu berhemah dan patuh kepada undang-undang jalan raya selain mengenal pasti pesalah tegar yang sering melanggar peraturan.

“Kita juga berharap untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya... kini ada 300,000 kanak-kanak yang menjadi yatim piatu gara-gara kemalangan jalan raya ini,” katanya yang menambah sistem penguatkuasaan yang dilaksanakan pada masa ini tidak lagi sesuai kerana membuka banyak ruang untuk perlakuan rasuah.

Beliau berkata sistem AES telahpun dilaksanakan di beberapa negara termasuk Vietnam, Kemboja, Thailand dan Singapura.

Selain rang undang-undang itu, persidangan Dewan Rakyat semalam turut meluluskan Rang Undang-Undang Bank Simpanan Nasional (Pindaan) 2010, Rang Undang-Undang Fi (Jabatan Meteorologi Malaysia) (Pengesahan) 2010, Rang

Undang-Undang Perbadanan Insurans Deposit Malaysia 2010, Rang Undang-Undang Perbadanan Pengurusan Likuiditi Islam Antarabangsa 2010, Rang Undang-Undang Agensi Inovasi Malaysia 2010 dan Rang Undang-Undang Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara 2010. — Bernama

Sumber: Freemalays


ReJaM©

4 Comments

  1. sumber kewangan tambahan utk menampung keperluan kroni UMNGOK

    ReplyDelete
  2. bukti umno zalim...

    ReplyDelete
  3. 1.. B End Akan menemuai ajal dlm PRU akn datg..
    11.. Semuanya utk memperkayakan lg kroni2nye..
    111.. Mmg dah makin zalim, mkn duit semua dgn cara menindas org..

    ReplyDelete

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan