Perodua, Honda dan Nissan

Tulisan Santai
16 Februari 2014

Perodua, Honda dan Nissan

Pertamanya saya memohon maaf. Saya pasti permohonan maaf saya ini akan diterima dengan hati penuh terbuka.

Saya juga mengharapkan anda menerima dengan penuh terbuka apa yang saya akan perkatakan. Ini adalah penyataan daripada sisi saya dan ia adalah sangat tidak adil untuk anda mengherdik dan membenci saya.

Saya katakan ia adalah kenyataannya dan saya sangat berharap anda semua menerimanya.

Semasa saya mula mula mendapat kerja selepas berhempas pulas belajar saya berjaya membeli sebuah kereta produa Kancil. Saya membeli kancil kerana itu hanya kemampuan saya ketika itu.

Namun ketika itu ia sudah menjadi satu kebanggaan yang sudah agak baik. Bujang dan mempunyai kereta walau ianya hanya kancil sudah menjadikan saya tampak sebagai seorang yang sudah berjaya.

Kerana sekiranya anda baru bekerja dan anda mempunyai kemampuan yang lebih daripada kancil anda sebenarnya hanya seorang penjual dadah atau pengikis harta orang tua anda.

Lagipun kancil ketika itu masih dianggap sebagai sangat trendy dan cool bagi seorang anak muda. Ia dilihat sebagai tiket yang sangat baik untuk memancing para gadis gadis berdahi agak licin. Anda jangan merasakan isteri saya jenis itu. Saya tahu dia mencintai saya sepenuh hati bukan kerana saya memiliki jentera ajaib ini. Saya tahu dan sedar akan hal itu.mungkin sedikit ada kot. Kah kah kah.

Oh, saya melalut sangat panjang. Yang saya mahukan di sini bukan tentang itu. Itu hanya pembukaan agar anda tidak sangat akan 'terasa' nanti.

Setiap pembelian kereta akan dibekalkan dengan service selepas pembelian. 15 tahun yang lepas, service bukanlah satu keutamaan sangat baik untuk kereta national kita. Saya tidak tahu sekarang namun saya masih mengekalkan benchmark itu untuk kereta Malaysia.

Dua minggu selepas membelinya, yang mana runner in 1000 km belum habis, pemegang pintu saya patah. Sebagai kereta yang daranya belum pecah sepenuhnya saya dengan penuh bangganya membawa kereta saya ke pusat servis yang telah ditentukan.

Apa yang saya harapkan ialah mereka meminta maaf penuh jujur dan sykt menghantar seorang wanita yang cantik untuk memohon maaf itu lantas menggantikan pemegang pintu itu dengan percuma.

Anda tahu apa jawapan mereka, "maaf dik, adik kena beli yang baru sendiri harganya rm89.90 dan warnanya ialah hitam dan kami akan memasangnya dengan caj." Saya menyumpah dengan penuh perasaan di dalam hati.

Saya merasakan pembelian yang saya banggakan ini merupakan penghapusan dosa yang telah ditentukan oleh Allah ke atas dosa yang paling besar pernah saya lakukan.

Oleh kerana datuk saya mempunyai bengkel, saya membawanya ke bengkel datuk saya. Mereka hanya menggunakan dawai besi mengikatnya dan mengelokkannya dan cajnya hanyalah percuma.

Bermula daripada hari itu, itulah kali terakhir saya ke pusat servis itu. Bagi saya mereka sangat mencekik darah. Mereka bukan sahaja menjual kereta sambil mencekik darah anda, mereka juga menjual service sambil mahu membunuh anda. Sungguh tidak patut.

Selepas 7 tahun saya bersama Kancil saya menjualnya. Untuk kesemua harga yang saya terpaksa bayar , saya hanya mendapat hanya lebih kurang rm10 ribu. Dengan sedikit duit simpanan saya tambahkan dengan hasil jualan kancil, saya membeli sebuah Honda. Oh, saya cukup bangga. Saya telah berjaya meninggalkan legasi kereta National. Saya merasakan saya telah berjaya menumpaskan seribu musuh yang telah setiap bulan mencekik dan mahu membunuh saya. Saya berjaya menjadi manusia yang sangat merdeka.

Mari saya ceritakan tentang servis honda ini. Ianya adalah sangat baik. Saya diberikan servise secara percuma untuk kesemua barangannya serta upahnya sebanyak 5 kali. Saya hanya perlu booking dan menghantarnya. Yang pasti, mereka juga sangat efisien. Layanan yang baik di bilik menunggu yang beraircond sambil diberikan air kopi atau milo yang sangat disukai oleh anak anak saya.

Pernah satu ketika, aircond kereta saya tidak sejuk. Mereka menggantikannya dengan sebuah aircond baru yang saya lihat masih di dalam plastik bila mereka mahu menukarnya. Hati saya sangat tersentuh.

Mahu membandingkannya seumpama langit dan bumi. Mereka sangat cermat dan berhati ketika mereka melakukan kerja kerja mereka. Saya merasa sangat berbaloi walau terpaksa membayar harga yang sedikit mahal untuk kereta tersebut. Seperti kata pepatah alah membeli namun menang memakai.

Polisi mereka juga sangat jelas, mereka membenarkan kata kata mereka semasa sebelum saya menandatangani surat perjanjian. Salesman yang menjualnya cukup ramah dan masih menghubungi saya walau telah lama saya membelinya.

Hampir setiap bulan saya akan menerima buletin Honda dan akan di berikan pelbagai hadiah kepada saya. Setiap kali hari ulangtahun saya mereka akan menghantar kad dan memberitahu saya tentang produk baru mereka. Contoh layanan ini sungguh bertaraf dunia. Anda akan merasakan sangat dihargai sebagai seorang pelanggan.

Saya merasa cukup cukup dihargai. Yang lebih menariknya, sepanjang 9 tahun bersama Honda, saya tidak pernah mengalami masalah yang berat. Yang menelan belanja yang besar. Juga tiada lagi masalah pintu dan masalah kecil yang amat lucu untuk di ceritakan. Saya mengambil keputusan untuk tidak menjual kereta ini kerana mengenangkan ia sangat tidak bermasalah.

Sebelum saya membuat keputusan membeli Honda dulu, saya membuat beberapa pertanyaan dan penyelidikan. Saya menimbang banyak perkara antaranya saranan daripada kawan kawan serta beberapa perkara yang menarik sebagai pedoman. Saya juga membaca beberapa artikel.

Antara yang masih tergiang giang di telinga saya ialah saranan kawan saya saudara Aminuddin Abdullah. Dia minta saya menoleh kepada Nissan. Alasannya Nissan di miliki oleh ramai pembeli Cina. Mengapa bangsa ini sukakan Nissan menjadikan satu alasan yang sangat menarik hati saya.

Akhirnya saya tetap memilih Honda. Seperti juga kawan saya si Amin itu memilih toyota dan kini saya dengar beliau sudah mula tinggalkan Asia dan memilih enjin German sebagai teman barunya. Tahniah kawanku. Engkau pergi dulu menjengah Eropah. Tunggu aku datang suatu hari nanti.

Kenapa saya tidak memilih Nissan dan memilih Honda ketika itu?. Mata saya tidak pernah merasa bahagia dengan Nissan. Dia seolah dicipta untuk menjadi sangat hodoh dan pelik. Tiada perasaan. Sangat ketinggalan dan saya pasti tiada yang akan menoleh kepadanya untuk kali kedua.

Untuk kereta baru saya, saya membuat keputusan yang sangat pelik. Saya berusaha mengikut kata otak pelik saya bukan lagi perasaan. Saya mencuba kelainan. Saya memilih Nissan. Hodoh? Masih hodoh, saya akui itu.

Selepas 1000km pertama saya ke pusat servis Nissan. Sangat mengujakan. Terletak di kawasan yang sangat tidak sibuk. Boleh berlenggang saja ke sana. Besar dan luas. Bilik menanti yang sangat nyaman, aman, ada wifi, air cond dan semestinya air cappucino yang sangat lazat. Juga terdapat surau dan tandas yang sangat bersih dan kemas.

Layanannya saya rasa lebih baik daripada Honda dan jauh sekali berbanding kereta National kita.

Kenapa saya ceritakan semua ini? Bila Proton mengeluarkan produk pertamanya pada 1985 saya baru melangkah ke darjah satu. Ketika itu jiwa patriotik saya masih belum dirosakkan dengan perkembangan dunia hari ini yang sangat mengujakan dan cepat.

Terasa hanya Malaysia ada di peta dunia. Hampir setiap kami akan bersama sama melukis lambang Proton. Malah saya pernah mendapat hadiah kerana lukisan lambang Proton saya yang paling cantik dan terbaik.

Saya juga tidak pernah melupakan saat bersesak-sesak di depan Hotel Perdana menonton kereta Proton Knight yang di pandu oleh seorang Mat Salleh. Dia membuat pelbagai aksi akrobatik. Sungguh teruja dan tidak mungkin saya melupakan. Serasa saya kereta inilah harapan masa depan saya.

Selepas membesar, saya lihat industri kereta Malaysia mengalami zaman yang sangat suram. Kita membesar bersama Kia dan beberapa syarikat Korea namun kita jauh ketinggalan berbanding mereka. Kenapa ini terjadi?

Secara nakal saya pernah melakukan beberapa kajian. Setiap pagi saya menghantar anak ke sekolah. Saya akan melalui sebuah lampu isyarat di hadapan sekolah di kawasan rumah saya.

Lampu isyarat ini di bina dengan ada butang untuk kanak kanak sekolah melintas. Kajian mendapati kebanyakan pengguna kereta National akan selalu mengingkari lampu isyarat ini.

Kesimpulannya saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena kepada pengguna kereta National ini. Saya menjangkakan pembelinya dikalangan orang orang yang tidak memahami undang undang dan tidak berdisplin.

Berdasarkan pengalaman saya ini, saya meletakkan pengguna kereta national ialah orang yang dipaksa atau terpaksa membelinya dan dikalangan mereka yang sangat tidak berdisplin.

Anda terasa kerana anda penjual kereta National? nah jadikan servis anda terbaik dan jika anda terasa kerana anda berkereta National? Jaga disiplin anda. Hanya anda mampu mengubahnya.

Sehingga kini saya masih mengharapkan kereta National kita akan kembali menjadi kereta kebanggan kita dan menjadi kereta utama dunia. Sesuatu harus dilakukan dengan lebih bertanggungjawab.

Terima kasih kerana membaca sehingga ke saat akhir. Saya memohon maaf sekali lagi sebagaimana saya nyatakan di awal tulisan saya. Saya nyatakan ini pandangan saya. Anda berhak mempunyai pandangan anda sendiri.

SEKIAN untuk kali ini. Insha Allah kita akan bertemu lagi. Semoga terhibur!

Hj Osama
Penyelaras SAMM Kelantan

1 Comments

  1. This paragraph will help the internet viewers for building up new weblog or even a blog
    from start to end.

    my blog: latest rpg games in iphone

    ReplyDelete

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan