Zahid perlu perjelas status kewarganegaraan Paul Phua

MINGGU lalu sebuah laman web telah membuat laporan berita yang berkata bahawa Paul Phua Wei-Seng, yang sedang didakwa di sebuah mahkamah di Amerika Syarikat, adalah seorang warganegara Montenegro. 

Laporan tersebut mengatakan beliau telah mendapat kewarganegaraan Montenegro di antara Oktober 2013 dan Oktober 2014, iaitu sebelum surat bertarikh 18 Disember 2014 yang ditulis Dato' Seri Zahid Hamidi kepada pihak Federal Bureau of Investigations, Amerika Syarikat.

Dalam surat tersebut, Dato' Seri Zahid telah berkata, antara lainnya:

"Mr Phua has, on numerous occassions, assisted the Government of Malaysia on projects affecting our national security and accordingly we continue to call upon him to assist us from time to time…"

dan

"… we are eager for him to return to Malaysia."

Mengikut Perkara 24 (1) Perlembagaan Persekutuan:

"Jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa mana-mana warganegara telah memperoleh kewarganegaraan mana-mana negara di luar Persekutuan melalui pendaftaran, penaturalisasian atau perbuatan sukarela dan formal yang lain (selain perkahwinan) maka Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan orang itu."

Maka, jika laporan berita ini benar, status kewarganegaraan Paul Phua boleh dipersoal. Ini membawa implikasi yang cukup serius dan membangkitkan soalan-soalan berikut:

1) Adakah Paul Phua Wei-Seng masih seorang warganegara Malaysia?

2) Adakah Dato' Seri Zahid tahu status kewarganegaraan Paul Phua Wei-Seng sewaktu beliau menulis surat kepada pihak FBI?

3) Jika Paul Phua bukan lagi warganegara Malaysia, adakah beliau masih membantu Kerajaan Malaysia di dalam "projek-projek yang melibatkan keselamatan negara"?

Saya percaya rakyat Malaysia mahu Dato' Seri Zahid memberikan satu penjelasan yang menyeluruh mengenai isu ini.

Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi
Naib Ketua AMK

4 Mac 2015

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan