Kerajaan Thailand benarkan ganja untuk perubatan dan penyelidikan

KERAJAAN Thailand hari ini (25 Disember 2018) dilapor mengambil keputusan untuk meluluskan ganja bagi kegunaan perubatan dan penyelidikan.

Parlimen Thailand hari ini mengundi untuk meminda Akta Narkotik 1974 negara itu dalam satu sesi persidangan parlimen tambahan bagi menguruskan keperluan mendesak meluluskan undang-undang sebelum cuti tahun baru.

"Ini merupakan satu hadiah tahun baru, dari sidang perundangan kebangsaan kepada kerajaan dan rakyat Thai," kata Somchai Sawangkarn, pengerusi jawatankuasa mendraf pindaan undang-undang itu yang disiarkan dalam siaran langsung sesi parlimen.

Ganja

Ketika negara-negara dari Colombia hingga Kanada telah membenarkan penggunaan ganja bukan sahaja untuk tujuan perubatan, malah ia dibenarkan untuk tujuan rekreasi, dadah jenis itu masih kekal haram di kebanyakan negara Asia Tenggara yang dikenali mempunyai undang-undang paling keras berhubung penyalahgunaan dadah.

Penyeludupan dan pengedaran ganja boleh dikenakan hukuman mati di Singapura, Indonesia dan Malaysia.

Namun di Thailand, kontroversi utama yang menyelubungi tindakan kerajaan membenarkan penggunaan ganja ialah berhubung permohonan hakcipta oleh syarikat-syarikat asing.

Tindakan itu dilapor mungkin membolehkan mereka untuk mendominasi pasaran, sekaligus menyukarkan pesakit-pesakit negara itu untuk mendapatkan perubatan, selain menyukarkan penyelidik mendapatkan akses kepada ekstrak ganja.

"Kami akan meminta kerajaan membatalkan segala permohonan itu sebelum undang-undang berkuatkuasa," kata Panthep Puaponpan, Dekan Rangsit Institute of Integrative Medicine and Anti Aging.

Sebilangan pengamal undang-undang di Thailand berharap kelulusan kerajaan hari ini akan membuka jalan kepada penggunaan ganja untuk tujuan rekreasi.

"Ini merupakan langkah awal," kata Chokwan Chopaka, seorang aktivis bersama Highland Network sebuah kumpulan yang berjuang agar kerajaan membenarkan penggunaan ganja di Thailand.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan