Keluarga tahanan mati dalam lokap dapat ganti rugi hampir RM500,000

KELUARGA Syed Mohd Azlan Syed Mohamed Nur yang mati dalam tahanan pihak polis dengan 61 kecederaan pada badannya 5 tahun lalu terima RM448,000 sebagai ganti rugi dan kerosakan.

Tahanan mati dalam lokap

Keluarga itu telah memulakan saman sivil dalam tahun 2015 terhadap tiga orang anggota polis dan 11 yang lain, termasuk ketua polis negara dan kerajaan.

Wang tuntutan itu meliputi kos mahkamah, wang pergantungan, salah laku jabatan kerajaan, teladan, tidak sedarkan diri, pengebumian dan ganti rugi khas.

Syed Mohd Azlan, seorang tukang kimpal berusia 25 tahun telah ditahan pada awal pagi 3 November 2014, kerana disyaki terlibat dengan rusuhan dan memiliki senjata 2 minggu sebelum itu.

Dia telah dibawa ke lokap balai polis Sungai Rengit, Johor dan ditemui tidak sedarkan diri lima jam kemudian semasa dipindahkan ke ibu pejabat Polis Kota Tinggi.

Mangsa telah dihantar ke Klinik Kesihatan Bandar Penawar sebelum disahkan meninggal dunia.

Dalam tahun 2018, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berkata kakitangan polis telah memukul Syed Mohd Azlan ketika berada dalam tahanan, di mana sejumlah 61 kecederaan pada badannya dilihat konsisten dengan kecederaan kerana mempertahankan diri.

EAIC dalam satu kenyataan menyebut penemuan Suruhanjaya itu menunjukkan berlaku salah laku dalam kematian Syed Azlan.

Tiga anggota polis — Weddin Mojingkin, Joshua Perait dan Muhammad Bunyamin — telah dituduh di bawah Seksyen 304 (b) kanun keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat membunuh, yang mana ia boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan dikenakan denda.

Bagaimanapun mereka didapati tidak bersalah oleh Mahkamah Seksyen. Manakala Mahkamah tinggi tahun ini mengekalkan keputusan mahkamah sebelum itu yang membebaskan mereka.

Meskipun mereka telah dibebaskan dari perbicaraan jenayah, hakim Mahkamah tinggi Datuk See Mee Chun hari ini membuat keputusan yang berpihak kepada keluarga Syed Mohd Azlan.

Dalam penghakimannya, hakim berkata bahawa polis bertanggungjawab untuk mempertahankan undang-undang bagi menjaga keamanan dan keselamatan negara.

"Segala tindakan mestilah selari dengan perlembagaan persekutuan dan undang-undang," katanya.

Hakim turut memetik satu kes tahun 2008 melibatkan pembelasahan dalam tahanan dan kekejaman polis terhadap seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam satu kejadian jenayah.

Menurutnya satu ganti rugi mesti mempertimbangkan  kemarahan awam, menekankan kepentingan hak perlembagaan dan tahap pelanggaran peraturan serta bagi mencegah pelanggaran-pelanggaran di masa hadapan.

Keluarga Syed Mohd Azlan diwakili oleh peguam M. Visvanathan sementara peguam kerajaan diwakili oleh Jailani Abdul Rahman.

Visvanathan kemudian dilapor memberitahu wartawan bahawa keputusan mahkamah telah menghantar satu mesej yang kuat bahawa kezaliman tidak akan dibiarkan.

"Ia mesti dihentikan," katanya.

Syed Mohamad Shariff Syed Mohamed Nur, saudara kepada mangsa meluahkan rasa terima kasih kepada mahkamah dan berharap pihak berkuasa akan belajar cara layanan yang betul kepada tahanan.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan