Umno dan Bersatu berebut jawatan Ketua Menteri Melaka

KETUA Menteri Melaka yang baharu, masih belum diputuskan walaupun Barisan Nasional (BN) sudah mengemukakan nama calon bagi menggantikan Adly Zahari, yang hilang kepercayaan untuk memimpin negeri.

Selain nama dikemukakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) juga menamakan seorang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob.

Zahid Hamidi

Ahmad Zahid dalam sidang medianya, bagaimanapun enggan mendedahkan nama yang dicadangkan oleh BN itu.

NSTP difahamkan, nama yang dikatakan dihantar untuk pertimbangan Mohd Khalil adalah ADUN Lendu, Datuk Sulaiman Md Ali dari BN, manakala BERSATU pula mencalonkan ADUN Paya Rumput, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Susulan perkembangan terbaharu itu, keputusan pelantikan Ketua Menteri Melaka ke-12 masih tergantung.

Ahmad Zahid berkata, beliau sudah mengemukakan nama ADUN BN dengan mengambil kira semua nama (13 ADUN) yang dipilih dan diangkat sebagai Ketua Menteri Melaka mengikut Perlembagaan Negeri dan kuasa tertentu mengikut peruntukan yang terdapat dalam undang-undang tubuh negeri.

"Maka keputusan muktamad yang akan dibuat oleh Yang di-Pertua Negeri adalah berdasarkan kepada cadangan yang dikemukakan.

"Maka, sebarang keputusan yang dibuat dan dengan kuasa yang ada pada beliau, mengikut Perlembagaan Negeri, akan kami hormati," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN Melaka, berkata UMNO dan BN akan menghormati dan taat kepada setiap keputusan yang akan dibuat oleh Mohd Khalil, selain meminta rakyat negeri ini bertenang dengan situasi berkenaan.

"Sama-sama kita berdoa keputusan yang bakal dibuat itu memberi kebaikan kepada semua (dan sudah pasti) akan kita hormati," katanya.

Sebelum itu, Ahmad Zahid mengadakan pertemuan tertutup lebih sejam dengan semua 13 ADUN BN di Hotel MITC di sini.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan bekas Ketua Menteri Melaka yang juga ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron.

Pada Isnin lalu, BN Melaka mengumumkan pembentukan kerajaan negeri yang baharu menerusi gabungan bersama BERSATU, selain penyertaan ADUN Rembia dari PKR, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan ADUN Pengkalan Batu dari DAP, Datuk Norhizam Hassan Baktee menerusi Perikatan Nasional (PN).

BN negeri yang memiliki 13 ADUN, diperkukuhkan lagi dengan penyertaan dua ADUN BERSATU iaitu Mohd Rafiq (Paya Rumput) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas), selain Jailani dan Norhizam menjadikan sokongan kepada PN berjumlah 17 daripada 28 ADUN di negeri itu.

Keadaan itu sekali gus menyaksikan pentadbiran PH Melaka yang diketuai Adly hilang sokongan majoriti ADUN.

Sumber — Berita Harian

BH

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan