Frontliner makmal Covid-19 Sabah ikrar untuk kuarantin diri dan terus bekerja jika disahkan positif

Dr Jemilah Mahmood menerusi media sosial Twitter miliknya berkongsi perbualan dengan para petugas Makmal yang mengendalikan spesimen Covid-19 di Sabah.


Beliau bertanya kepada para kakitangan makmal itu untuk mengetahui jika ada para petugas yang sudah dijangkiti dan positif Covid-19 sepanjang menjalankan tugas:

"Ada sesiapa yang sudah positif?" soalnya.

"Tiada. Kami berdoa supaya kami terus sihat, kerana kami tak boleh sakit ataupun menjalani kuarantin." 

"Tapi jika terpaksa, kami sudah buat keputusan untuk jalani kuarantin bersama-sama tapi tetap teruskan tugas, kalau kami tumbang, Sabah akan tumbang," jawab mereka.

Pejuang Barisan Hadapan Covid-19 Sabah

Perkongsian yang sangat menyentuh hati itu bukan sahaja menerima pujian dan penghargaan dari netizen di media sosial, malah ia turut mendapat perhatian daripada Pengarah Kesihatan, Dr Noorhisham Abdullah.

"Kita adalah benteng barisan terakhir pertahanan, jika kita tumbang, seluruh negara juga. Hilang nyawa dan hilang kehidupan," tulisnya sebagai respon terhadap perkongsian itu.

Para petugas yang bekerja menguruskan dan menjalankan ujikaji terhadap sampel-sampel diterima dalam makmal kesihatan seluruh negara adalah antara individu barisan hadapan yang sangat penting kepada negara di dalam usaha melawan wabak Covid-19.

Mereka adalah 'wira yang tidak didendangkan,' nama mereka tidak diketahui umum, namun tugas yang mereka lakukan sangat penting kepada negara terutama sekali di kawasan merah seperti di Sabah pada waktu ini yang teruk dilanda wabak pembawa maut itu.



Mereka terpaksa berdepan dengan ribuan sampel setiap hari yang diterima dari pelbagai individu untuk diuji dan ditentukan sama ada seseorang itu positif Covid-19 atau tidak.

Tugas mengendalikan ratusan, mungkin sehingga ribuan sampel setiap hari yang mengandungi virus SARS-CoV-19 ini jelas sekali sangat berisiko. Jika berlaku kesilapan tentu sekali padah buruk bakal menimpa mereka.

Namun mereka tidak ada pilihan, kepakaran dan kebolehan yang dimiliki mereka datang bersama amanah dan tanggungjawab yang besar wajib ditunaikan.



Terima kasih banyak kita ucapkan kepada mereka yang berbakti untuk rakyat, hanya Allah yang mampu membalas kebaikan kamu semua.

Sumber - Twitter

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan