Saintis India cipta 'Feluda' kaedah ujian Covid-19 pantas seperti ujian kehamilan

SEPASUKAN penyelidik dari India telah berjaya mencipta kaedah ujian Covid-19 murah berasaskan kertas yang mampu memberikan keputusan pantas seperti ujian kehamilan, lapor bbc.com.

Jika ujian dijalankan menghasilkan dua garisan, bermakna sampel digunakan adalah positif Covid-19 manakala jika hanya satu garisan kelihatan membawa keputusan sebaliknya.


Kaedah ujian yang diberi nama sempena watak detektif fiksyen terkenal India "Feluda" itu menggunakan teknologi manipulasi gene yang dipanggil Crispr. 

Feluda Covid-19 test kit

Penyelidik menganggarkan kit itu mampu memberikan keputusan dalam masa kurang sejam dengan kos sekitar 500 rupees (RM28.40).

Feluda akan mula dikilangkan oleh sebuah gergasi korporat India, Tata dan menjadi kit ujian coronavirus berasaskan kertas pertama di dunia yang bakal berada di pasaran.

"Ia ujian yang mudah, tepat, boleh dipercayai, dan murah," kata Profesor K Vijay Raghavan, ketua penasihat saintifik Kerajaan India, memberitahu BBC.


Para penyelidik di CSIR - Institute Genomics and Intergrative Biology (IGIB) di Delhi yang menghasilkan Feluda dilaporkan telah melakukan ujian terhadap 2,000 sampel, termasuk mereka yang telah disahkan positif coronavirus.

Mereka mendapati kaedah ujian baru itu memiliki 96% kepekaan dan 98% kekhususan. Ketepatan sesuatu ujian adalah berdasarkan 2 perkadaran ini.

Suatu ujian yang tinggi kepekaan mampu mengesan hampir setiap orang yang mempunyai wabak berkenaan, manakala suatu ujian yang mempunyai kekhususan akan menolak hampir setiap orang yang tidak mempunyai wabak tersebut.


Kadar kepekaan bagi memastikan tidak terlalu banyak keputusan negatif palsu, manakala kadar kekhususan untuk memastikan tidak terlalu banyak keputusan positif yang palsu.

Ciptaan terbaru ini telah melepasi tapisan ketat pihak berkuasa India untuk dipasarkan kepada umum.

Lebih 6 juta jangkitan yang telah disahkan, India kini merupakan negara kedua paling tinggi kes jangkitan di dunia dengan lebih 100,000 orang telah meninggal dunia akibat virus pembawa maut itu setakat ini.

Meskipun bermula perlahan, India kini telah berjaya menjalankan ujian kepada lebih 1 juta sampel sehari menerusi lebih 1,200 makmal seluruh negara menggunakan dua jenis kaedah ujian.

Pertama, kaedah ujian Swab PCR, yang menggunakan bahan kimia untuk menggandakan bahan genetik virus di makmal. Manakala kaedah kedua melalui pendekatan mengesan kehadiran cebisan virus dalam suatu sampel.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan