Empat cara scammer Macau Scam menipu mangsa yang perlu anda ketahui

RAMAI yang sudah menjadi mangsa 'scammer' atas talian atau juga dikenali sebagai Macau Scam. Kerugian beratus juta ringgit telah dicatatkan.


Kalau kita lihat pelbagai lapisan masyarakat berjaya diperdaya oleh sindiket penipuan ini. Dari orang kebanyakan sampailah kepada golongan profesional yang sepatutnya bijak untuk mengelak dari ditipu.

Justeru sangat penting untuk mengetahui bagaimana Macau Scam beroperasi agar anda tidak menjadi mangsa seterusnya.

Macau Scam
Antara perkakas digital yang dirampas oleh pihak polis dari penjenayah Macau Scam

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman (Jenayah Siber dan Multimedia), SAC Victor Sanjos, terdapat empat cara yang digunakan oleh sindiket penipuan ini untuk menipu mangsa.


Katanya sindiket berkenaan bergantung kepada kealpaan masyarakat dan memperdayakan mereka dengan menyamar sebagai anggota pihak berkuasa untuk menyelesaikan masalah jenayah.

"Cara yang digunakan adalah dengan menawarkan cabutan bertuah, menyamar sebagai pegawai polis atau penjawat awam, menyamar sebagai pegawai Bank Negara, dan juga meminta wang tebusan dalam kes penculikan," katanya.

Mendedahkan bagaimana cara mereka beroperasi, menurut beliau, sindiket ini menggunakan teknik penipuan melalui Voice Over Internet Protocol (VoIP) supaya mereka dapat menggunakan sebarang nombor telefon bagi memperdayakan mangsa.

Berikut empat cara scammer Macau Scam menipu mangsa seperti yang didedahkan oleh Victor Sanjos, jika anda berada dalam empat situasi berikut sila berhati-hati jangan sampai terperangkap.


1. Penipuan cabutan bertuah

Dalam kes cabutan bertuah, pemanggil akan memaklumkan kononnya mangsa telah memenangi wang tunai jutaan dollar dari Hong Kong dan mereka akan memberikan nombor telefon untuk dihubungi mangsa sekiranya mahu mendapatkan hadiah wang tunai itu.

Mangsa seterusnya akan diminta untuk menjelaskan cukai dengan cara pemindahan wang ke akaun bank tertentu. Kononnya mangsa akan menerima wang jutaan ringgit selepas menjelaskan bayaran cukai terlebih dahulu, dan sebaik sahaja wang dipindahkan mereka akan menghilangkan diri.

2. Menyamar sebagai anggota polis

Sindiket Macau Scam ini akan menyamar sebagai pegawai polis, dan menuduh mangsa telah melakukan jenayah tertentu. Bagi menyelesaikan kes tersebut mangsa perlu memindahkan semua wang dalam akaun mangsa ke dalam satu akaun bank.

Kononnya tindakan ini bagi mengelakkan akaun bank mangsa daripada dibekukan. 


3. Menyamar sebagai pegawai dari Bank Negara

Pemanggil akan menyamar sebagai seorang pegawai dari Bank Negara. Pegawai bank ini akan mendakwa kononnya mangsa telah menggunakan kad kredit melebihi amaun yang dibenarkan.

Bagi mengelakkan akaun dibekukan mangsa akan diminta untuk memindahkan kesemua wang ke dalam satu akaun bank.

4. Menyamar sebagai penculik dan mahukan wang tebusan.

Mangsa akan dihubungi oleh sindiket yang menyamar sebagai penculik, kononnya saudara atau ahli keluarga mangsa telah diculik. Bagi membebaskan mereka mangsa perlu memindahkan wang ke akaun bank pihak ketiga. Dalam sesetengah kes mereka juga menggunakan alasan lain seperti kes langgar lari.


Jadi jika anda terkena empat situasi yang disenaraikan di atas, maka berhati-hatilah, antara langkah yang patut anda lakukan ialah, letak telefon dan jangan layan panggilan mereka.

Salah satu langkah pencegahan yang baik untuk diamalkan ialah, jangan angkat telefon dari nombor yang tidak dikenali.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan