Lebih 2 jam redah hutan cari internet untuk sertai kelas online

BAGI memastikan anak muridnya tidak ketinggalan dalam pembelajaran semasa sekolah ditutup, seorang guru mengetuai 22 pelajar sekolah rendah dan menengah, meredah hutan lebih 2 jam bagi mendapatkan liputan Internet supaya mereka boleh mengikuti pembelajaran atas talian (online).


Menteri Pendidikan telah mengumumkan penutupan sekolah-sekolah disebabkan oleh pandemik Covid-19, justeru pengajaran dan pembelajaran perlu dijalankan atas talian.

Redah hutan cari internet

Perubahan ini mungkin tidak memberi kesan besar kepada pelajar di kebanyakan bandar, namun ia merupakan cabaran bagi pelajar yang tinggal di kawasan pedalaman.

Kisah ini berlaku di kawasan terletak sejauh 5 jam perjalanan dengan kereta atau 2 jam menggunakan bot dari Bandar Kuching, Sarawak. Sekumpulan pelajar merasa sedih selepas mengetahui bahawa sekolah mereka ditutup semula dan diganti dengan pembelajaran atas talian.


Namun di kawasan tempat mereka tinggal tiada kemudahan Internet, pembelajaran atas talian seperti itu adalah satu perkara yang mewah buat mereka.

Cikgu Sambau, seorang guru yang mengajar di rumah panjang yang tidak sanggup melihat anak muridnya ketinggalan, mengambil inisiatif mengetuai para pelajar sekolah rendah dan menengah di rumah panjang tersebut untuk meredah hutan selama lebih 2 jam, mendaki bukit dan menuruni anak sungai untuk mendapatkan liputan internet.

Dalam satu temubual dengan akhbar berbahasa Cina Sin Chew, Sambau memaklumkan bahawa dia bertugas sebagai guru di SMK Lubok Antu.


Katanya sejak kerajaan mengumumkan perintah larangan pergerakan, Sambau melihat anak-anak di kampungnya jauh ketinggalan dalam pembelajaran disebabkan mereka tidak mempunyai internet berbanding pelajar yang tinggal di pekan dan bandar.

"Ada pelajar dari Sekolah Sukan Negeri Tabuan Jaya, telah pulang ke kampung kerana Covid-19. Disebabkan tiada kemudahan internet di kampung mereka, mereka telah ketinggalan dalam pembelajaran," katanya.

Mereka perlu menaiki bot panjang jika mahu pergi ke bandar yang mengambil masa selama 2 jam dengan kos petrol RM150. Selepas mendarat perlu mengambil teksi untuk pergi ke pekan berdekatan dengan kos sekitar RM30 masa perjalanan pula sekitar 30 minit. Ini sangat membebankan bagi kebanyakan ibu bapa di kawasan itu.

Justeru, Sambau bersama isteri dan adiknya mengumpulkan beberapa ibu bapa untuk mencari internet di kawasan yang berdekatan dengan rumah panjang mereka.

Cikgu Sambau

Oleh itu para pelajar sekurang-kurangnya boleh memeriksa grup WhatsApp atau Telegram bagi mendapatkan informasi tentang sekolah dan kelas, serta mendapatkan maklumat kerja rumah, sebelum kembali semula ke rumah panjang untuk menyiapkannya.


Selepas bersusah payah akhirnya mereka berjaya menemukan 'signal' internet di sebuah bukit selepas berjalan kaki selama dua jam setengah dari rumah panjang yang didiami mereka.

"Terus terang, lokasi itu sebenarnya sangat jauh dari rumah panjang. Ia mengambil masa sekitar 45 minit berjalan meredah hutan dan sungai, dan seterusnya perlu mendaki bukit selama 1 jam 45 minit untuk sampai ke sebuah kawasan yang mempunyai akses internet," kata Sambau.

Jalan Kaki

Sambau dengan pisau tergantung di lehernya, sambil tangannya menggenggam tongkat untuk mendaki, mengetuai 14 pelajar sekolah rendah bersama 8 pelajar sekolah menengah meredah hutan, dan menelusuri bukit dan anak sungai dalam misi pencarian itu.

Dukung anak

Mereka juga turut ditemani oleh penduduk kampung dan ibubapa yang sanggup bercuti dari kerja harian untuk membantu anak-anak membawa makanan dan minuman, sekaligus menjaga keselamatan dan menemani mereka sepanjang perjalanan.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan