Malaysia sukar dapat vaksin Covid-19 sebab bersaing dengan negara kaya — Pakar

SYARIKAT Pfizer dan BioNTeach dilaporkan telah berjaya menghasilkan vaksin Covid-19 paling mujarab setakat ini, namun sukar bagi Malaysia untuk mendapatkannya kerana perlu bersaing dengan negara-negara kaya.


Menurut seorang pakar virus, Dr Lam Sai Kit kes jangkitan Covid-19 di Amerika Syarikat dan Eropah meningkat menjelang musim sejuk, 80% vaksin dari Pfizer telah dijual kepada negara-negara kaya di seluruh dunia.

Lam Sai Kit

"Banyak negara-negara yang telah memberi bantuan kewangan kepada penyelidikan vaksin ini, jadi mereka akan berada di barisan hadapan untuk mendapatkannya. Pfizer dan BioNTeach enggan mendedahkan harganya kepada negara-negara lain di dunia," 

"Tidak ada satupun pengilang yang boleh memenuhi permintaan Vaksin Covid-19 dunia. Pada waktu ini perhatian banyak diberikan kepada vaksin-vaksin yang dibangunkan di AS dan Kesatuan Eropah, namun saya rasa ada potensi besar untuk dapatkan vaksin yang dibangunkan lebih dekat dengan kita,"


"Terdapat vaksin lain yang sedang dibangunkan di wilayah Asia-Pasifik dan kita patut melihatnya," katanya kepada FMT sambil menyebut China sebagai antara sumber utama, dan negara-negara lain seperti Indonesia, Thailand, Singapura, India dan Australia sebagai pembekal yang berpotensi.

Menurut Lam, Singapura dijangka akan memiliki vaksin pada awal tahun depan berdasarkan kajian dijalankan oleh Duke-National University of Singapore dan Arcturus Therapeutics, sebuah syarikat Amerika.

"Serum Institut of India, yang mana merupakan pengeluar vaksin terbesar di dunia mempunyai sekurang-kurangnya dua kajian vaksin sendiri yang sedang dijalankan,"

"China, mempunyai beberapa vaksin berpotensi pada fasa tiga ujian klinikal, dan telah melalui banyak ujian di dalam dan luar negara China, termasuk Brazil, telah berjanji untuk menyediakan vaksin itu seluruh dunia apabila ia sedia untuk permohonan selepas berjaya menyelesaikan ujian klinikal itu," katanya.


Tambahnya wilayah Asia-Pasifik memainkan peranan penting di dalam pembangunan vaksin, terutama dengan penglibatan pengilang sektor swasta lebih kecil dan institusi akademik.

Dr Lam Sai Kit merupakan seorang pakar denggi yang diiktiraf antarabangsa dan juga terlibat di dalam penemuan virus Nipah dalam tahun 1998. Beliau kini merupakan penasihat penyelidikan Universiti Malaya dan felo kanan Akademi Sains Malaysia.

Setakat ini kerajaan Malaysia telah membayar wang pendahuluan berjumlah RM94 juta dalam inisiatif Pelan Covax, satu mekanisma perkongsian risiko untuk mendapatkan perolehan terkumpul yang saksama vaksin Covid-19. Ia akan menjamin bekalan vaksin untuk 10% rakyat Malaysia.

Terbaru Malaysia telah bersetuju untuk bekerjasama dengan China, bagi berkongsi pengetahuan dan kepakaran juga mempermudahkan kebolehan sains dan teknologi untuk kemajuan vaksin negara masing-masing.

Bulan lalu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia perlu membayar sekitar RM600 juta untuk mendapatkan 3 juta dos vaksin di bawah Pelan Covax.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan