Mangsa dipukul dan dipaksa oleh polis agar mengaku RM1.6 juta dirampas bukan miliknya

"Anggota polis menggunakan telefon bimbit untuk merakam video, memaksa saya berkata bahawa wang tunai RM1.6 juta yang dirampas oleh polis bukan milik saya, dan saya tidak tahu berapa jumlah wang tersebut, dan mengugut agar tidak memberitahu sesiapa jika tidak perkara lebih buruk akan berlaku,"


Oleh kerana telah dipukul oleh pihak polis sebelum ini, seorang warga China yang juga merupakan juru profesional elektronik yang takut akan dipukul lagi terpaksa mengikut arahan polis untuk membuat "pengakuan" yang dirakam menerusi kamera telefon bimbit lapor portal berbahasa Cina Sin Chew.

Wang Tunai RM1.6 juta
Ilustrasi Wang Tunai RM1.6 juta

Warga China itu bersama isterinya telah ditahan oleh sepasukan pegawai polis pada 12 November atas alasan untuk membantu siasatan kes perjudian atas talian.

Anggota polis berkenaan menyerbu rumah dan menahan mereka bersama dua lagi pemandu dan merampas wang tunai berjumlah RM1.6 juta, barangan kemas, beberapa utas jam tangan dan sarang burung yang bernilai tinggi. Selepas dibawa ke balai polis, mangsa telah dipukul.


Namun Li Xia Yi, 29 dan isterinya Chen Shu Lian tidak dibenarkan mendapatkan kembali barangan milik mereka sehingga 21 November dengan bantuan seorang kawan, mereka telah membuat satu laporan polis.

Menurut laporan Sin Chew, pada jam 6 petang 12 November 2020, ketika mangsa berada di kolam renang kediamannya, beberapa lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis telah menyoal siasatnya.

Disebabkan kekangan bahasa, kedua-dua pihak  tidak dapat berkomunikasi. Beberapa anggota lain pula telah memeriksa badannya dan mengambil telefon bimbit, beg, kunci rumah dan kad akses.

Mangsa kemudian dibawa ke apartment kediamannya di tingkat 15, dan isterinya telah dibawa masuk ke dalam rumah. Anggota polis berkenaan telah menggeledah rumah tersebut namun tidak dapat menemui apa-apa barangan haram.


Namun mereka telah menemui wang tunai berjumlah RM1.6 juta, barangan kemas, beberapa utas jam tangan berjenama, dan sarang burung bernilai tinggi. Mangsa menyaksikan barangan ini dibawa pergi oleh anggota polis berkenaan mengguna tiga buah beg 'suitcase'

Menurut mangsa, anggota polis berkenaan tidak menunjukkan ID Pengenalan diri ketika menggeledah rumah, namun mereka mempunyai pistol yang terletak di pinggang. Dia berasa takut ketika itu, dan merasakan dirinya sedang dirompak.

Anggota polis itu turut membawa dua pemandu lelaki berbangsa Cina ke dalam rumah untuk menjadi jurubahasa. Anggota polis itu bertanya dari mana wang tunai RM1.6 juta itu diperolehi. Mangsa mengatakan ia adalah wang simpanannya manakala selebihnya dimenangi dari Casino Genting.


Mereka berempat dibawa ke balai polis pada jam 10 malam dalam sebuah kereta peronda. Mangsa telah dipukul di balai polis dan isterinya turut didera.

Anggota polis berkenaan kemudian memaksanya untuk merakam 1 video pengakuan menerusi telefon bimbit untuk menyatakan bahawa wang tunai RM1.6 juta itu bukan miliknya, dan dia tidak tahu berapa jumlah wang berkenaan. 

Pasangan itu dan kedua-dua pemandunya kemudian telah dibebaskan.

Menurut laporan Harian Metro, satu pasukan khas dari Cawangan Jenayah Berat (D9), Jabatan Siasatan Jenayah IPK Kuala Lumpur telah menahan anggota dan pegawai berkenaan.


"Beberapa siri serbuan dilakukan polis berjaya menahan seorang pegawai kanan berpangkat Asisten Superitendan dipercayai ketua serbuan berkenaan dan beberapa anggota lain-lain pangkat,"

"Polis juga menemui sebahagian wang tunai yang dilarikan pegawai dan anggota berkenaan di rumah masing-masing. Namun jumlah penemuan semula wang yang dilarikan itu dilaporkan hanya RM500,000," kata sumber dalaman pihak polis yang menyiasat kes itu seperti dipetik oleh Harian Metro.

Katanya lagi pihak polis kini sedang mengesan saki baki wang tunai yang dilarikan kumpulan polis terbabit.

"Semua anggota dan pegawai berkenaan kini masih ditahan bagi membantu siasatan," katanya.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan berhubung kejadian itu sedang dijalankan.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan