Mendiang Koperal Baharuddin bertempur sampai habis peluru

MENDIANG Koperal Baharuddin bertempur dengan kumpulan penyeludup di sempadan Malaysia—Thailand sampai kehabisan peluru sebelum ditemui telah menghembuskan nafas terakhir.


Menurut Ketua Polis Negara, (KPN) Abdul Hamid Bador, mendiang Koperal Baharuddin, 54 ditemui oleh pasukannya dalam keadaan baring terlentang dan masih memegang senjatanya berada di bahu dan sudah kehabisan peluru.

Hamid Bador

"Mereka telah menemui mendiang terbaring, dalam keadaan terlentang menghadap ke atas dan pistolnya di bahu, yang telah pun kosong, tidak ada peluru lagi di situ," katanya.

Menurutnya, panggilan kecemasan telah dibuat untuk mendapatkan khidmat ambulans, dan dalam masa tidak sampai setengah jam selepas itu pasukan perubatan tiba dan mengesahkan mendiang telah meninggal dunia sekitar jam 4 pagi.


"Apabila pemeriksaan dibuat ke atas badannya, terdapat kecederaan di bahagian perutnya, rusuk kanan, dan seterusnya jenazahnya telah dibawa ke hospital dan daripada hospital Tengku Fauziah terus dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, untuk dibuat postmortem" katanya.

Koperal Baharuddin dan rakan sepasukannya Koperal Norihan Tari sedang menjalankan risikan sebelum kejadian berlaku.

Kedua-dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) itu menaiki motosikal ke lokasi kejadian kira-kira 200 meter dari sebuah pos kawalan PGA berhampiran.

Menurut Abdul Hamid, apabila sampai di sebuah kawasan belukar kedua-dua mereka telah meletakkan motosikal di situ dan berjalan kaki mengikut denai.

Selepas berjalan lebih kurang 400 meter, mereka telah terserempak dengan sekumpulan lelaki dianggarkan berjumlah 13 orang sebelum tiba-tiba berlaku tembak menembak antara mereka dan kumpulan itu.


Kedua-dua mereka hanya menggunakan pistol disebabkan tugasan sebagai anggota peninjau untuk mengumpul risikan dan tidak dibekalkan dengan senjata berat.

Ketika bertempur, katanya mendiang Baharuddin telah terkena tembakan dan berundur kira-kira lima meter sebelum mengarahkan rakannya untuk keluar bagi mendapatkan bantuan.

"Apabila berlaku tembak menembak, Koperal Baharudin telah tercedera dan berundur sejauh 4 hingga 5 meter sebelum rebah di situ,"

"Beliau sempat mengarahkan rakannya segera balik meminta bantuan," katanya.

Menurut Abdul Hamid, ketika rakan sepasukan berlari ke arah motosikal untuk keluar mendapatkan bantuan tidak jauh dari situ, Baharuddin yang masih lagi bertempur sudah kehabisan peluru.


Abdul Hamid memuji keberanian kedua-dua anggota berkenaan, dan menyifatkan kehebatan mereka tidak boleh dipertikaikan kerana masih mampu membuat tembakan yang mencederakan beberapa penyeludup walaupun bertempur hanya menggunakan pistol dalam keadaan gelap.

Menurutnya lagi, kedua-dua mereka merupakan anggota berpengalaman dan telah menjalani kursus Komando VAT69 dan pernah menerima beberapa penghargaan sebelum ni.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan