Mona Sahlin letak jawatan TPM Sweden kerana coklat Toblerone

SATU kisah yang popular terjadi satu masa dahulu dalam tahun 1995, digelar sebagai "Toblerone Scandal" berkenaan Timbalan Perdana Menteri Sweden meletak jawatan dan dihebahkan kerana "Coklat Toblerone".



Mona Sahlin, seorang wanita yang pada waktu itu berusia 38 tahun disebut-sebut sebagai calon Perdana Menteri paling muda dan paling layak untuk menggantikan Ingvar Carlsson.

Mona Sahlin

Namun Mona telah dituduh menyalahgunakan kad kredit yang diperuntukkan kepadanya untuk perbelanjaan peribadi. Kad kredit itu sepatutnya digunakan hanya untuk perbelanjaan yang berkaitan tugasnya sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Akhbar Espressen ketika itu melaporkan Mona telah menyalahgunakan kad kredit yang diberikan kerajaan kepadanya untuk perbelanjaan peribadi.


Dalam satu sidang media wanita itu mengaku telah menggunakan kad kredit itu untuk membeli barangan dapur, menyewa sebuah kereta, membeli lampin pakai buang, rokok dan beberapa keping coklat Toblerone.

Dia juga seterusnya mengaku telah lewat membayar 19 tiket parking dan beberapa bil khidmat penjagaan anaknya.

Mona seterusnya telah membuat satu permohonan maaf yang telah disiarkan dalam beberapa akhbar di Stockholm.

Siasatan berhubung kes itu telah dijalankan oleh pihak berkuasa Sweden. Namun kes itu telah ditutup pada awal tahun 1996 selepas mendapati Mona tidak melanggar sebarang undang-undang.

Namun Mona tetap membayar balik perbelanjaan kad kredit yang telah digunakan itu kepada perbendaharaan negara Sweden.


Kes kontroversi itu digelar sebagai "Toblerone Scandal," kerana terdapat pembelian beberapa keping coklat Toblerone dalam penyata perbelanjaan kad kredit berkenaan.

Mona tidak pernah didakwa dalam mana-mana mahkamah, selepas didapati perbelanjaan itu bukan satu kesalahan. 

Namun dia telah dibicarakan oleh rakyat Sweden di mana selepas tersebarnya skandal itu, satu pungutan suara menunjukkan sejumlah 66% rakyat menganggap Mona tidak sesuai menjadi Perdana Menteri meskipun sebelum itu dia merupakan individu paling popular untuk jawatan itu.

Kes ini menunjukkan betapa negara Sweden sangat mengutamakan integriti pemimpin yang diamanahkan untuk memegang jawatan penting negara.

Tidak hairanlah, negara itu berada pada tangga 5 teratas dunia (Top 5) iaitu berada di tangga ke 4 sebagai negara bebas rasuah berkongsi kedudukan dengan negara jiran kita Singapura.

1 Comments

  1. Kalau perkara yg sama terjadi kpd ahli politik kerajaan di malaysia, tiada apa tindakan akan diambil. NFA

    ReplyDelete

Post a comment

Previous Post Next Post

iklan