Pegawai Imigresen ditahan SPRM ada rekod jenayah rompak dan curi kereta

SALAH seorang daripada 34 kakitangan imigresen yang ditahan kerana terlibat dengan jenayah pemalsuan cop keluar masuk sempadan negara, dilaporkan mempunyai rekod jenayah rompak dan curi kereta lapor FMT memetik kenyataan sumber yang mendedahkan perkara itu.


Menurut sumber berkenaan, pegawai rendah dengan gred KP19 itu memiliki empat kereta mewah yang telah dirampas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kereta Dirampas SPRM

Kereta tersebut terdiri daripada sebuah Rolls-Royce Phantom, Mustang, Audi dan Range Rover di mana kesemua kenderaan itu disimpan bagi pihaknya oleh seorang ejen pekerja asing.

"Berdasarkan rekod polis, pegawai imigresen itu didapati mempunyai satu rekod rampasan dan curi kereta. Pegawai itu juga terlibat dalam jenayah rompak dan curi kereta yang diketuai oleh ejen warga asing," kata sumber itu.


Pegawai itu juga dipercayai terlibat dalam sebuah pertubuhan rahsia.

"Bagaimana seorang yang mempunyai rekod jenayah boleh diterima bekerja dalam perkhidmatan awam?" soalnya.

Dalam pada itu sumber itu turut memaklumkan bahawa agen pekerja asing berkenaan dikehendaki oleh pihak polis berhubung kes rompakan dan curi kereta, juga konspirasi jenayah berkait dengan satu sindiket pelacuran melibatkan warga China.


Secara keseluruhan, 12 agen pekerja asing telah ditahan dalam operasi yang dinamakan sebagai "Ops Selat," dan mereka semua merupakan anggota sindiket pemerdagangan manusia antarabangsa.


Sepuluh lagi orang awam telah ditahan kerana membenarkan akaun bank mereka digunakan untuk menerima wang rasuah yang dikaut oleh pegawai-pegawai imigresen berkenaan.

Ketika dihubungi, Pengarah Siasatan  SPRM Norazlin Mohd Razali mengesahkan bahawa sejumlah 56 individu telah ditahan setakat ini.

"Kami akan mengambil langkah tegas terhadap agen-agen ini. SPRM akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen dan polis untuk melanjutkan siasatan berdasarkan pelbagai peruntukan undang-undang," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan